Bernama.com
Rencana 02 Julai, 2008 11:45 AM
 
OUM Terus Fokus Pembelajaran Sepanjang Hayat



Naib Canselor OUM, Profesor Tan Sri Anuwar Ali

Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat dalam membangunkan sebuah negara berasaskan pengetahuan akan terus menjadi misi utama Open University Malaysia (OUM).

Sebagai sebuah institusi terbuka dan jarak jauh, OUM akan meneruskan misinya mendemokrasikan pendidikan selaras dengan hasrat Kerajaan ingin melihat lebih ramai rakyat Malaysia mendapat pendidikan di peringkat tinggi.

Selepas tujuh tahun pembukaannya, OUM telah melahirkan 8,895 graduan terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti guru, jururawat, golongan profesional, warga emas dan orang kurang upaya.

Sehubungan itu juga, OUM akan menawarkan lebih banyak program baru pada masa akan datang bagi memenuhi keperluan pembelajaran rakyat Malaysia, demikian menurut Presiden, yang juga Naib Canselor OUM, Profesor Tan Sri Anuwar Ali dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini.

"Kami berharap dapat menawarkan sekurang-kurangnya 150 program menjelang 2015," jelas beliau.

PROGRAM BARU

OUM kini menawarkan 51 program di peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Mengenai program baru, Prof Anuwar berkata, buat permulaan ia akan menawarkan 11 program baru pada kemasukan September yang meliputi Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengurusan Islam), Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian dan Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian.

Program-program lain termasuk Sarjana Muda Teknologi Multimedia, Sarjana Muda Sains (OSHA) dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Kepujian serta Sarjana Muda Pengurusan Pembuatan dengan Kepujian.

Program baru peringkat sarjana yang akan ditawarkan September ini termasuk Sarjana Pengurusan Sumber Manusia, Sarjana Kejuruteraan Perisian, Sarjana Pengurusan Projek dan Sarjana Rekabentuk Pengajaran dan Teknologi.

Sebelum ini, OUM telah memberikan tumpuan kepada melahirkan lebih ramai guru dan jururawat berijazah, yang mendapat sambutan amat baik.

LAHIRKAN GRADUAN BERKUALITI

Sasaran setiap IPT tentunya untuk melahirkan lebih ramai graduan yang berkualiti sekaligus memenuhi kehendak pasaran. Bagaimanapun, jumlah tersebut turut menambahkan bilangan graduan menganggur.

Namun, menurut Prof Anuwar, sungguhpun bilangan graduan menganggur agak membimbangkan, tetapi ia tidak bermakna Kerajaan tidak mengambil inisiatif bagi mengatasi perkara tersebut.

Bagi OUM sendiri, masalah graduan menganggur tidak timbul kerana lebih 95 peratus mahasiswanya adalah mereka yang bekerja.

"Bagi golongan ini, tujuan utama mereka melanjutkan pendidikan adalah untuk meningkatkan keupayaan diri dan pengembangan kerjaya masing-masing. Jadi tidak timbul isu tentang kualiti graduan yang dihasilkan tidak memenuhi keperluan pasaran," jelasnya.

Sebagai sebuah universiti yang ditubuhkan oleh konsortium 11 universiti awam tempatan, OUM menggunakan kepakaran tenaga berpengalaman dari universiti awam tempatan dalam penggubalan kurikulum dan pengajaran bagi memastikan kualiti pengajarannya.

Selain itu, program yang ditawarkan juga turut mendapat pengiktirafan dari Malaysian Qualification Agency (MQA). Setakat ini, 17 program yang ditawarkan telah diakreditasikan.

PEMBELAJARAN TERADUN

Selepas tujuh tahun, kaedah pembelajaran teradun (e-Learning) yang diterapkan sejak mula ditubuhkan adalah antara faktor kejayaan universiti ini.

Sistem tersebut telah digunakan sepenuhnya dalam proses membina hubungan antara pelajar dan pensyarah selain dalam penyampaian tutorial.

"Ia menjadi medium bagi pelajar dan tutor berurusan melalui e-mail dan forum yang boleh dijalankan pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.

"Sememangnya OUM amat berbangga dengan myLMS (Learning Management System) ini kerana ia turut merapatkan hubungan mahasiswa dan pengurusan universiti," jelas Prof Anuwar.

Sebagai sebuah universiti terbuka, persaingannya juga tentu bergerak lebih pantas memandangkan ia melibatkan penggunaan ICT sepenuhnya. Malahan perpustakaan digital yang diwujudkan juga memudahkan sistem pembelajaran bagi mahasiswa mencari sumber rujukan dan e-jurnal dalam bidang-bidang yang ditawarkannya.

Menurut Prof Anuwar, proses pengajaran dan pembelajaran OUM sejak dari mula adalah bergantung kepada ICT memandangkan majoriti mahasiswanya terdiri daripada mereka yang sedang bekerja.

Mod pembelajaran di OUM ialah pembelajaran teradun yang menggandingkan pembelajaran dengan menggunakan modul bercetak, secara talian serta melalui perjumpaan dengan para tutor.

"Cara ini lebih berkesan kerana pelajar boleh menyesuaikan sendiri waktu untuk mengikuti pengajian mengikut waktu mereka tanpa perlu risau tentang batasan waktu dan tempat.

ANTARABANGSAKAN OUM

Sejajar dengan polisinya sebagai sebuah universiti terbuka juga, dengan kemampuan teknologi tersebut, OUM turut membuka ruang menjalinkan usahasama dengan beberapa negara lain sebagai usaha pengantarabangsaan OUM.

Negara yang terlibat ialah Bahrain, Yamann, Singapura dan Indonesia. Sejak dimulakan pada 2005, OUM kini mempunyai 706 pelajar di Bahrain dan 168 pelajar di Yemen melalui penawaran program pasca siswazah seperti program MBA dan PhD.

Universiti itu juga sedang giat mengembangkan sayapnya ke negara-negara seperti Vietnam, Maldives serta negara-negara rantau Asia dan Afrika.

Menurut Prof Anuwar, usaha berkenaan adalah selari dengan visi OUM untuk menjadi universiti mega pada 2015.

Dianggarkan ambilan pelajar melebihi 130,000 dengan sasaran 10,000 daripadanya ialah penuntut antarabangsa.

UNIVERSITI MEGA

Prof Anuwar turut bersetuju bahawa keupayaan negara serta keinginan masyarakat mempertingkatkan pengetahuan dalam penggunaan internet adalah antara faktor pembelajaran maya menjadi realiti.

Sungguhpun demikian, beliau masih percaya kepada pertemuan secara bersemuka antara pelajar dan pengajar.

"Walaupun pembelajaran maya telah menjadi realiti, kita tidak boleh bergantung seratus peratus kepadanya, pelajar dan pensyarah masih perlu bersemuka kerana ia satu daripada cara meningkatkan kualiti siswazah OUM.

"Sasaran kita sebagai sebuah universiti terbuka yang menawarkan sistem pendidikan jarak jauh ialah menjadi sebuah universiti mega dengan jumlah pelajarnya melebihi seratus ribu. Di dunia ini, mungkin ada 20 universiti terbuka sahaja yang menggunakan konsep ini.

"Dengan kemampuan teknologi yang ada, OUM yakin dapat mencapainya. Kita juga akan melakukan kaji selidik dari semasa ke semasa bagi mewujudkan program-program yang relevan dengan keperluan semasa," jelas Prof Anuwar mengenai sasaran OUM menjelang 2015.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels