Bernama.com
Am 30 Jun, 2008 19:13 PM
 
Kadar Rayuan Saman Trafik Sebanyak 30 Dan 50 Peratus Bermula Esok.


KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Prihatin dengan kos sara hidup yang meningkat berikutan kenaikan harga minyak, Trafik Pasukan Bukit Aman bersedia menerima rayuan pesalah trafik dengan memberikan diskaun 30 hingga 50 peratus terhadap saman kesalahan trafik tertentu mulai esok.

Ketua Trafik Pasukan SAC II Datuk Hamza Taib berkata kadar rayuan itu hanya diberikan untuk kesalahan trafik bagi Notis POL 257 di mana pesalah dikehendaki menurunkan tanda tangan pada surat saman, dan Notis POL 170A yang dikeluarkan tanpa meminta pesalah menurunkan tanda tangan pada surat saman.

Beliau memberitahu sidang akhbar di sini hari ini, potongan 50 peratus untuk Notis POL 257 hanya diberikan kepada saman yang dikeluarkan mulai esok manakala diskaun 30 peratus untuk Notis POL 170A diberikan secara automatik mulai esok bagi saman-saman yang dikeluarkan sebelum ini.

"Pelaksanaan rayuan ini hanya merangkumi saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti yang dinyatakan di bawah Rule 3 Road Transport (Compounding of offences) 2003," katanya.

Hamza menegaskan bahawa beberapa kesalahan trafik tidak boleh dirayu untuk diberikan diskaun tersebut, seperti semua saman yang dikeluarkan semasa Ops Sikap, semua saman bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah, saman bagi kes kemalangan jalan raya dan saman yang mempunyai waran tangkap.

"Kadar ini tidak mewajarkan pesalah trafik mengulangi kesilapan mereka, tetapi bertujuan agar mereka lebih bertanggungjawab dan mengambil iktibar daripada kesilapan berkenaan," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan rayuan ini akan dilakukan secara automatik melalui sistem komputer pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melayari laman web www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my dengan melakukan pembayaran secara kad kredit atau debit.

Selain itu, orang ramai juga boleh membuat pembayaran di kaunter-kaunter PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di seluruh negara.

"Sebanyak 148 kaunter tunai dan 46 kaunter kad kredit/debit dibuka di semua IPD dan IPK di seluruh negara. Selain itu juga, kita turut membuka tujuh kaunter PDRM di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lima kaunter di pusat membeli-belah yang terpilih," katanya.

Kaunter yang dibuka di pusat membeli-belah ialah di Terminal One, Seremban; Perangin Mall, Pulau Pinang; IOI Mall, Puchong; Jusco Ipoh; dan The Curve, Damansara.

Hamza mengingatkan pengguna jalan raya bahawa PDRM dengan kerjasama JPJ dalam proses untuk menyenaraihitam semua saman trafik (POL 257 dan POL 170A) sekiranya pesalah trafik masih gagal membayar saman mereka sehingga 31 Dis depan.

"Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 109 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu liabiliti tuan punya kenderaan dan Seksyen 17 akta yang sama iaitu kuasa pendaftar berlesen untuk tidak membenarkan pembaharuan lesen kenderaan atau memandu sekiranya pesalah trafik mempunyai hal-hal yang belum selesai dengan JPJ atau PDRM," katanya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels