Bernama.com
Am 30 Jun, 2008 16:03 PM
 
T. Mohan Dilantik Koordinator Pemuda MIC


KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Ketua Biro Sosial dan Kebajikan Pemuda MIC T. Mohan telah dilantik sebagai koordinator pergerakan Pemuda MIC ekoran keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti meminta semua ketua pemuda yang mencapai umur 41 tahun mengosongkan jawatan masing-masing.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memberitahu Bernama bahawa Mohan, 35, seorang peniaga dan pasukannya akan menerima nasihat daripada Majlis Penasihat Pemuda MIC yang baru ditubuhkan, dalam menjalankan aktiviti dan program pergerakan itu sehingga pemilihan Pemuda MIC tahun depan.

Mohan yang tewas ketika bertanding bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Selangor pada pilihan raya umum lepas akan dibantu oleh S. Murugesan, seorang peguam yang dilantik sebagai timbalan koordinator Pemuda MIC.

Murugesan, yang juga tewas ketika bertanding di kerusi kawasan Parlimen Subang, merupakan wakil Pemuda MIC di dalam CWC MIC.

S. Ramis, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Kahang, Johor, dilantik sebagai ketua majlis penasihat tersebut.

"Sayap Pemuda kini diketuai oleh seorang koordinator. Murugesan akan menjadi timbalan. Pemuda, sehingga pemilihan tahun depan akan menerima nasihat daripada Majlis Penasihat, yang anggotanya terdiri kebanyakannya daripada bekas Ketua Pemuda yang melepasi umur 40 tahun," kata Samy Vellu.

Beliau berkata pucuk pimpinan parti sedang menyusun semula pergerakan Pemuda seperti yang digariskan oleh perlembagaan parti.

"Menurut perlembagaan parti, apabila seseorang pemimpin Pemuda mencapai umur 41 tahun, beliau mesti mengosongkan jawatan. Sekiranya kita tidak mematuhi peraturan ini, kita hanya akan menghalang ratusan dan ribuan pemuda di dalam parti daripada mendaki tangga politik.

"Oleh yang demikian, keputusan dibuat untuk membolehkan anggota yang lebih muda menyertai sayap Pemuda dan memegang jawatan. Majlis Penasihat Pemuda akan menguat dan memantau peranan pergerakan Pemuda," kata Samy Vellu.

Semalam Ketua Pemuda, SA. Vigneswaran mengumumkan keluar parti setelah tidak berpuas hati dengan peraturan CWC itu.

Samy Vellu berkata tugas utama Majlis Penasihat ialah mengambil seberapa ramai belia menyertai parti bagi menguatkan pergerakan Pemuda MIC.

"Ia merupakan sebahgian langkah kita untuk menguatkan parti. Pembinaan semula akan menjadi keutamaan parti dalam tempoh dua tahun akan datang. Kita akan mula membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata sebagai tugas pertama, Mohan dan Murugesan akan diberi kepercayaan menganjurkan perhimpunan tahunan Pemuda MIC peringkat kebangsaan yang dijadualkan 6 Julai ini.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels