Bernama.com
Rencana 26 Jun, 2008 10:40 AM
 
Seronok Kenakan Orang Punca Panggilan Palsu


Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kisah budak penggembala kambing, yang gemar memperdayakan penduduk kampungnya, wajar diceritakan ibu bapa kepada anak sebagai satu pengajaran.

Bagi menghilangkan kebosanannya menjaga kambing-kambing di padang ragut di kampungnya, budak lelaki tersebut berfikir-fikir perkara menyeronokkan yang boleh dilakukan bagi menghilangkan kebosanan.

Akhirnya dia bangun dan menjerit-jerit meminta tolong sambil berteriak mengatakan seekor harimau menyerang kambing-kambingnya.

Melihat penduduk kampung terkocoh-kocoh berlari ke arahnya sambil membawa cangkul dan parang, dia ketawa berdekah-dekah kerana berjaya memperdayakan mereka.

Rasa seronoknya bertambah-tambah lagi apabila melihat kemarahan orang kampung. Esok, perkara yang sama diulanginya, lusa juga begitu. Manakala penduduk kampung masih lagi percaya dan berlari-lari datang untuk membantu.

Namun, malang tidak diduga, pada hari keempat seekor harimau benar-benar datang menyerang kambing peliharaannya. Sungguhpun dia menjerit meminta tolong hingga serak suaranya, tidak seorang pun penduduk kampung yang datang membantu kerana serik diperdayakan penggembala nakal itu.

Kehilangan kesemua kambing peliharaannya akibat diserang harimau menyebabkan dia insaf dan tidak mahu berbohong lagi.

Kisah ini analoginya sama sahaja dengan kes-kes panggilan palsu yang melampau pada zaman berteknologi ini. Bezanya si penggembala menggunakan kaedah tradisional manakala hari ini teknologi dijadikan medium tempat mencari keseronokan.

April lepas, kebanyakan akhbar utama di Malaysia menyiarkan kenyataan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) yang mendedahkan sebanyak 97.9 peratus daripada panggilan kecemasan yang diterima pada tahun lepas adalah palsu.

Menurut Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor yang ketika itu masih lagi Timbalan Menteri di kementerian tersebut, jumlah panggilan palsu yang diterima oleh Pusat Panggilan Kecemasan 999 (PPK) yang mengendalikan semua panggilan kecemasan kepada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan hospital masih tinggi.

Statistik yang sama menunjukkan purata 67,257 panggilan sehari yang diterima oleh pusat itu sejak beberapa bulan sebelumnya, hanya 1,396 daripadanya ialah panggilan kecemasan sebenar.

ISU YANG SERIUS

Sungguhpun pelbagai kempen serta iklan disiarkan oleh media elektronik dan media cetak, PPK yang dikendalikan oleh pihak TM terus menerima bermacam jenis panggilan yang melibatkan panggilan palsu.

Antara jenis panggilan palsu ialah panggilan main-main (52 peratus), panggilan lucah (32 peratus), panggilan senyap (10 peratus) dan panggilan oleh mereka yang menghadapi masalah mental (6 peratus).

Manakala kanak-kanak dikenalpasti sebagai kumpulan pemanggil terbesar iaitu sebanyak 43 peratus, disusuli lelaki dewasa (38 peratus), remaja (14 peratus) dan wanita (5 peratus).

Pensyarah di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Dr Mariani Mansor berkata, statistik berkenaan dilihat sebagai sesuatu yang serius memandangkan ia melibatkan pihak yang bertanggungjawab ke atas kes-kes kecemasan.

"Bagaimanapun kita juga perlu melihat definisi kepada panggilan palsu yang dimaksudkan itu. Mungkin juga melibatkan panggilan yang tidak disengajakan disebabkan oleh dail automatik. Ia mungkin juga antara sebab kepada panggilan senyap," kata Dr Mariani.

Selain itu, jenis panggilan ini mungkin juga melibatkan mereka yang benar-benar kurang kesedaran bahawa panggilan 999 itu hanya untuk kecemasan sebenar dan bukan untuk keadaan tertentu. Contohnya, mereka yang panik apabila kereta rosak atau hanya untuk bertanya arah jalan, sanggup dail 999.

Menurut beliau, ada juga individu yang gemar membesar-besarkan perkara yang kecil kerana terlebih panik.

"Sebagai contoh, bila terdengar bunyi sesuatu meletup, mereka menghubungi talian kecemasan mengatakan terdengar bunyi tembakan. Memang ada beberapa individu yang sikapnya sebegini. Kadang-kadang kita juga tidak tahu sama ada sikap terlebih mengambil berat ini sikap yang baik atau tidak," kata Dr Mariani.

Beliau menambah sekiranya panggilan-panggilan tersebut memang daripada individu yang menghadapi masalah psikologi seperti panggilan daripada individu yang kesunyian, sengaja menelefon untuk mengadu masalah, mereka yang mengalami masalah mental, golongan ini adalah mereka yang memerlukan rawatan khusus seperti kaunseling.

SERONOK KENAKAN ORANG

Jika golongan dewasa, sebab mereka melakukan kesalahan ini mungkin kerana sunyi, bimbang, bermasalah atau sengaja hendak menyakitkan hati pihak polis atau bomba.

"Pada saya, individu dewasa melakukan kesalahan ini mungkin ada tujuan tertentu.

"Tetapi bagi kanak-kanak dan remaja, kebanyakannya membuat panggilan palsu kerana berasa seronok apabila dapat mengenakan orang. Atau mungkin mereka sengaja ingin meraih perhatian.

Golongan ini, menurut Dr Mariani, tidak akan berasa bersalah malah menganggap perbuatan mereka-reka cerita adalah satu hiburan tanpa menyedari kesannya yang serius.

Kadangkala, sikap tidak kesah ibu bapa juga boleh mendorong anak-anak terus menerus melakukan kesalahan tersebut.

"Ada ibu bapa yang tidak kisah. Sikit saja. Perkara kecil. Jadi, bila ibu bapa sendiri tidak ada kesedaran, tidak pernah menjelaskan sebab dan akibat kesalahan tersebut atau tidak pernah melihat rakan-rakan kena tangkap, perkara ini dibiarkan berterusan," terangnya lagi.

TIDAK TAKUT TINDAKAN

Sungguhpun kerajaan telah mewujudkan hukuman melalui undang-undang mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mekanisme tersebut nampaknya masih belum cukup untuk menyedarkan orang ramai bahawa tindakan berkenaan salah di sisi undang-undang.

Di bawah seksyen tersebut, mereka yang disabitkan kesalahan menyalahguna talian kecemasan 999 boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-duanya sekali.

Malangnya, penguatkuasaan dan kempen telah dibuat, tetapi mengapa perkara ini terus berlaku? Adakah rakyat Malaysia tidak takutkan undang-undang?

Bagi Dr Mariani, jika sebelum ini, penguatkuasaan yang betul-betul tegas dan mantap tidak dilaksanakan sepenuhnya menyebabkan orang ramai tidak nampak betapa seriusnya kesalahan tersebut.

Namun, beliau berharap dengan adanya penangkapan ke atas 13 individu yang melakukan panggilan palsu beberapa bulan yang lepas serta mendapat liputan media, ia dapat membuka kesedaran ramai pihak.

"Mungkin juga mesej menerusi iklan dan kempen belum sampai maksudnya. Mungkin juga kerana kesalahan ini tidak diwar-warkan tentang kesan buruknya. Bila orang rasa ia tidak berbahaya, orang akan mengambil sikap sambil lewa," komen beliau.

PENDIDIKAN KESEDARAN

Membendung masalah panggilan palsu tidak hanya bergantung kepada tanggungjawab pihak berkuasa sahaja. Tetapi yang lebih penting adalah membentuk kesedaran dan sikap individu.

Pendidikan kesedaran kepada masyarakat jauh lebih penting terutamanya kepada individu yang bergelar ibu bapa, guru, masyarakat dan media.

"Pengetahuan tentang kegunaan nombor 999 serta kesan penyalahgunaannya perlu ditekankan. Keseronokan yang diperoleh daripada membuat panggilan palsu mungkin pada masa yang sama telah membahayakan nyawa orang lain," jelas Dr Mariani.

Beliau turut menekankan pendidikan kesedaran sivik untuk kanak-kanak yang bermasalah.

Menurut beliau, kanak-kanak ini tidak perlu diasingkan kerana berpendapat mereka bukanlah mengalami masalah mental.

Apa yang perlu ialah pengetahuan dan kesedaran terhadap kesalahan membuat panggilan palsu.

"Jika tidak dibendung, sudah tentu ia akan berpanjangan. Jika mengetahui anak-anak atau mana-mana individu terlibat melakukannya, cepat-cepat hentikan. Ia tidaklah seserius masalah mental tetapi sama seperti masalah kanak-kanak yang suka menipu.

"Dalam hal ini, didikan dan nasihat adalah ubat terbaik untuk mereka," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels