Bernama.com
Am 24 Jun, 2008 15:42 PM
 
Pencen Hanya Diterima Pada Usia 58 Tahun Bagi Lantikan 12 April 1991


KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hari ini menasihati para guru yang dilantik selepas 12 April 1991 supaya memikirkan semasak-masaknya sebelum memilih untuk bersara awal atau menerima tawaran untuk bersara wajib pada umur 58 tahun.

Ini kerana mereka yang dilantik selepas tarikh itu tidak akan menerima bayaran pencen sehinggalah mencapai umur persaraan wajib, kata Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng.

"Mereka perlu fikir betul-betul, baik untuk menerima tawaran berkhidmat sehingga 58 tahun mahupun mengambil keputusan untuk bersara pilihan.

"Maknanya, jika menerima tawaran bersara wajib pada umur 58 tahun dan kemudian memilih untuk bersara awal, pegawai kumpulan ini perlu tunggu sehingga berusia 58 tahun untuk mula menerima pencen," jelasnya ketika dihubungi Bernama hari Selasa.

Seksyen 12, Akta Pencen 1980 menetapkan pegawai yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 yang bersara pilihan akan hanya diberi pencen pada tarikh mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya, sama ada pada umur 55, 56, atau 58 tahun.

Sekyen itu menjelaskan bahawa ganjaran dan wang tunai sebagai gantian cuti rehat akan diberi kepada pegawai berkenaan ketika beliau bersara pilihan.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Lok berkata NUTP menerima banyak panggilan telefon daripada guru mengenai kekeliruan isu itu kerana bimbang tidak akan mendapat pencen sekiranya memohon persaraan awal.

Beliau turut menjelaskan bahawa guru yang telah dilantik sebelum pelantikan terkini, dan telah meletakkan jawatan daripada pelantikan asal itu, tarikh pelantikan pada atau selepas 12 April 1991 yang dimaksudkan ialah tarikh pelantikan kedua.

Mengikut seksyen 12, Akta Pencen 1980, sekiranya tidak berlaku peletakan jawatan antara dua pelantikan itu, tarikh pelantikan pada atau selepas 12 April 1991 yang dimaksudkan ialah tarikh pelantikan pertama pegawai.

Lok berkata kakitangan awam diberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk memilih sama ada menerima tawaran bersara wajib pada usia 58 tahun ataupun tidak.

Beliau menasihati para guru supaya melayari laman web NUTP di www.nutp.org untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels