Bernama.com
Am 22 Jun, 2008 20:30 PM
 
Jijik Dan Ngeri! Amaran Bergambar Pada Kotak Rokok


Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 22 Jun (Bernama) -- Jijik dan ngeri! Beginilah agaknya rupa kotak-kotak rokok yang akan dijual di Malaysia mulai 1 Dis depan.

Gambar kotak-kotak rokok yang beramaran ini adalah pemandangan biasa di kedai-kedai rokok di Singapura.

Di Singapura, kerajaan sudah lama berusaha menasihati rakyatnya supaya tidak merokok demi menjaga kesihatan seperti melarang merokok di tempat umum dan larangan merokok bagi remaja di bawah 18 tahun.

Kerajaan telah menggubal satu akta iaitu Akta Merokok (Kawalan Pengiklanan dan Penjualan Tembakau) sejak 1970an lagi.

Tetapi akta itu hanya dapat dikuatkuasakan apabila ia menubuhkan Unit Pengawalan Tembakau pada 1989.

Di bawah akta itu, adalah menjadi kewajipan bagi semua pelesen rokok memastikan semua keluaran tembakau mereka mempunyai label grafik amaran kesihatan.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini menyatakan semua jualan rokok di pasaran tempatan wajib mempunyai amaran bergambar mengenai bahaya merokok melitupi 40 peratus bahagian depan dan 60 peratus bahagian belakang, yang dicetak pada setiap kotak mulai 1 Dis.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata keputusan itu selaras dengan komitmen Malaysia selaku anggota Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) dan pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) pada 2004 sebagai mengiktiraf konvensyen antarabangsa itu.

Kata beliau enam gambar memaparkan kesan merokok terhadap kesihatan akan digunakan silih berganti untuk tempoh dua tahun sebelum ditukar.

Kotak-kotak rokok di Singapura menunjukkan gambar-gambar kesan penyakit akibat merokok iaitu seperti kanser mulut dan tekak, penyakit dalam mulut dan menambah risiko pengguguran.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels