| UPM Anjur Kursus Penyembelihan Halal |
|
SERDANG, 12 Jun (Bernama) -- Orang ramai, pengurus dan pengusaha rumah sembelihan serta industri makanan boleh mendapatkan teknik sembelihan haiwan dengan prinsip syariah dan sains sembelihan halal melalui Kursus Penyembelihan Halal 2008 (KPH 2008) anjuran Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 17 dan 18 Jun ini.
Pengerusi KPH 2008 Dr Awis Qurni Sazili berkata kursus itu akan mendedahkan peserta kepada teknik sembelihan halal, amalan penyembelihan di rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang diamalkan oleh industri makanan serta isu semasa penyembelihan halal.
"Peserta bukan sahaja didedahkan dengan kuliah dan latihan malah mereka juga akan melakukan praktikal sembelihan ayam, kambing dan lembu serta dibawa melawat ke loji pemprosesan ayam dan rumah penyembelihan lembu di Melaka dan Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari Khamis.
Beliau berkata konsep pengurusan penyembelihan halal yang berkesan akan menjamin kualiti daging dan memanjangkan jangka hayat simpanan daging.
Kursus itu mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian UPM, katanya.
Awis Qurni berkata pengurusan penyembelihan halal itu dapat memastikan status halal bagi setiap produk yang berasaskan haiwan malah tidak akan timbul isu penyelewengan yang melanggar hukum syarak.
Katanya kursus yang merangkumi pengendalian ternakan, proses semasa dan selepas penyembelihan itu masih terbuka kepada penyertaan tetapi terhad kepada 10 peserta yang mendaftar lebih awal.
--BERNAMA
|
|
|