| Umno Perlu Fikir Semasak-masak Permohonan Ezam, Kata Muhyiddin |
|
MUAR, 31 Mei (Bernama) -- Pertimbangan untuk menerima permohonan kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam Umno perlu diperhalusi dan difikirkan semasak-masaknya oleh kepimpinan parti, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata permohonan Mohamad Ezam dan beberapa bekas anggota PKR yang lain itu juga perlu melalui prosedur biasa parti tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka.
"Proses permohonan perlu melalui prosedur biasa pada mesyuarat Majlis Tertinggi, sebelum itu Jawatankuasa Pengurusan, barulah kita lihat kewajaran untuk terima (permohonan) atau tolak supaya tiada ahli yang kecewa kerana seolah-olah kita (Umno) ketepikan pertimbangan biasa di atas sebab-sebab tertentu."
"Saya tak nampak apa istimewanya kemasukan Ezam.
Pada saya kemasukan biasalah. Tetapi dia (Ezam) yang tidak biasa, ada rekod. Kita kena teliti secara halus dan semasak-masaknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Persatuan Pesara Negeri Johor di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian sebagai mengulas permohonan kemasukan Mohamad Ezam dan beberapa pemimpin Pemuda PKR yang lain yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Menurutnya, beliau mendengar terdapat anggota parti yang berasa tidak senang dan kurang selesa tentang betapa mudahnya Umno menerima kembali Mohamad Ezam, yang juga merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa sebarang usaha menyelidik latar belakang beliau.
Katanya, peraturan dan prosedur di dalam perlembagaan Umno perlu dipatuhi sebelum seseorang yang telah keluar daripada Umno dan menentang parti, diterima kembali ke dalam parti.
Prosedur kemasukan ke dalam parti bagi mereka yang telah keluar parti adalah berlainan dengan mereka yang baru mahu memasuki Umno, katanya.
"Ianya berbeza dengan orang baru di kampung-kampung, berbanding dengan orang yang keluar masuk parti dan menentang (Umno). Ada prosedur dan caranya.
Bukan lulus sewenang-wenangnya.
-- BERNAMA
|
|
|