| Kerajaan Pusat Bukan Tunduk Kepada Pembangkang, Kata Najib |
|
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Keputusan kerajaan pusat mengarahkan supaya laluan Bandar Mahkota Cheras ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn di Lebuhraya Cheras Kajang dibuka berkuatkuasa serta-merta bukan atas desakan atau tunduk kepada kehendak parti pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya, kata beliau keputusan itu dibuat kerana kerajaan pusat prihatin terhadap apa yang dikehendaki oleh penduduk di kawasan itu.
"Ini semua kerja pembangkang yang sengaja mempolitikkan isu itu," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas keputusan Kabinet semalam supaya laluan itu yang mencetuskan kontroversi antara penduduk dengan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) terus dibuka sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai pertikaian itu.
Najib berkata demikian selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang dekat sini.
Beliau berkata kerajaan juga tidak akan tunduk pada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan.
"Jika keadaan (kekacauan) ini berlaku, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka dan kerajaan tidak akan pandang ringan terhadap isu ini," katanya.
Selasa lepas, ketegangan yang berlaku memuncak apabila penduduk bergaduh dengan sekumpulan lelaki yang cuba menghalang tembok yang menghalang laluan itu dirobohkan sehingga menyebabkan beberapa orang cedera termasuk jurugambar sebuah akhbar tempatan.
Tembok itu dibina oleh Grand Saga sejak Janauari 2006 bagi menghalang kemasukan terus trafik dari bandar Mahkota Cheras ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn dan Lebuhraya Cheras Kajang tanpa perlu membayar tol di plaza tol batu 11.
-- BERNAMA
|
|
|