Bernama.com
Am 31 Mei, 2008 15:22 PM
 
Harga Beras Import Ditetapkan RM1.80 Sekilogram Di Sabah Dan Sarawak


KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Pengguna di Sabah dan Sarawak akan dapat membeli beras import Putih Super yang mengandungi 15 peratus beras hancur (Super 15%) pada harga kawalan RM1.80 sekilogram, kata Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Kenyataan Bernas hari ini menyebut bahawa harga kawalan beras gred itu ditetapkan bagi kawasan sekitar Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu di Sabah serta Kuching, Sibu dan Miri di Sarawak.

Beras Super 15% dipasarkan dengan enam jenama berbeza edaran anak syarikat Bernas di Sabah dan Sarawak dan boleh dikenali menerusi penggunaan pelekat berwarna biru "Super Beras Nasional 15%" pada bungkusan itu.

Jenama berkenaan adalah beras Super Vietnam (15%) bagi Sabah manakala bagi Sarawak pula menggunakan jenama Cap Hornbill Kenyalang, Cap Beras Premium Beras Vietnam 25, Cap Batang Rajang, Beras Super Cap Ikan Gurami dan Emperor.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa penggunaan pelekat bertujuan memastikan identiti yang seragam dan membantu memudahkan pengguna mengenal pasti gred beras.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperkenalkan pelekat berwarna bagi membantu pengguna mengenal pasti perbezaan gred beras.

Beras Super Secial Tempatan (SST) dengan kandungan lima peratus beras hancur akan menggunakan pelekat ungu, SST 10 peratus menggunakan pelekat kuning dan Super Tempatan (ST) dengan 15 peratus beras hancur pula pelekat biru tua.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels