| Zaid Tetap Mahu BN Ambil Tindakan Terhadap Mukhriz Dan Tajuddin |
|
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim tetap mahu Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan ke atas anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kerana ia berkaitan peraturan Parlimen.
"Perkara yang saya bangkitkan itu berkaitan dengan peraturan Parlimen. Peraturan dasar parti-parti dalam Parlimen yang kita kena akur kepada keputusan kerajaan jika kita daripada anggota Parlimen parti kerajaan, kalau kita dari parti pembangkang kita kena akur kepada ketua pembangkang.
Itu peraturan dalam dewan.
"Jadi tindakan yang saya maksudkan yang perlu diambil adalah berasaskan kepada peraturan Parlimen bukannya parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelantan Fest dan Semarak Seni Tasik Titiwangsa, di sini.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam berkata Zaid, Mukhriz dan Tajuddin akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej parti.
Zaid berkata sesiapa yang membela dasar kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu takut akan diambil tindakan.
"Mereka yang mengkritik dan menghentam Pak Lah ni sebenarnya dah lama, empat tahun saya ingat. Jadi kalau ada orang yang nak membela Pak Lah sekali-sekala pun takkanlah nak ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata anggota Umno perlu menyokong Abdullah dan perlu memahami terlebih dahulu perubahan yang ingin dilakukan sebelum mengkritik.
"Perdana Menteri ingin melakukan perubahan untuk memperbaiki kelemahan dalam sistem perundangan dan kehakiman dalam negara kita.
"Kita perlu memberi sokongan dan perlu faham dulu sebelum mengkritik dan saya percaya perubahan ini baik untuk negara ini dan sangat diperlukan kerana kita perlu akur kepada kehendak rakyat," katanya.
Zaid juga menyifatkan individu yang menentang perubahan dan menentang perdana menteri adalah individu yang berpemikiran cara lama dan mengamalkan budaya politik lama sehingga tidak dapat menerima perubahan yang ingin dilakukan.
-- BERNAMA
|
|
|