Bernama.com
Am 30 Mei, 2008 18:48 PM
 
Suhakam Minta Penjelasan Polis


KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mendapatkan penjelasan polis berhubung tindakan anggota Polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang didakwa menggunakan kekerasan setelah dirempuh oleh tiga lelaki dan seorang wanita dalam satu kejadian di Bandar Mahkota Cheras di sini kelmarin.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk N Siva Subramaniam berkata satu inkuiri akan dibuat untuk mendapatkan keterangan berhubung kejadian itu.

"Gambar dalam akhbar Cina ini juga jelas. Ia satu kejadian yang teruk. Adakah seorang anggota polis biasa yang melihat kejadian itu tidak boleh meleraikan kejadian itu. Bagaimanapun, kita yakin orang yang menyaksikannya dapat memberikan bukti," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata suruhanjaya itu telah mendapatkan keterangan seorang mangsa Chang Jiun Haur, 21, semalam yang merupakan pemandu kenderaan terbabit.

Chang kini dirawat di Hospital Seremban akibat cedera di badan, muka dan mulut.

Siva Subramaniam berkata mangsa mendakwa dia ditahan anggota FRU ketika melalui jalan yang ditutup itu sebelum cermin kereta Proton Saga miliknya dipecahkan dan beliau ditarik keluar dari keretanya.

"Kita bertanya tujuan mangsa berada di tempat kejadian dan dilaporkan bahawa mangsa hanya pergi minum sebelum mengambil jalan yang ditutupi konkrit oleh Grand Saga untuk pulang ke rumah," katanya.

Katanya bapa kepada mangsa, Chang Ah Kau telah membuat laporan polis di Balai Polis Seremban semalam.

"Selalunya orang kata Suhakam tiada "gigi". Melalui inkuiri ini, ia adalah merupakan gigi Suhakam," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels