Bernama.com
Rencana 22 Mei, 2008 09:47 AM
 
Perkhidmatan KTMB Ke Taman Negara Pahang


Oleh Siti Zubaidah Abdullah

JERANTUT, 22 Mei (Bernama) -- Berkunjung ke Taman Negara di Pahang dengan memandu kenderaan sendiri atau menaiki bas ekspres mungkin suatu perkara biasa bagi kebanyakan orang.

Apa kata kalau anda mencuba pula perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) yang menyediakan pakej ke Taman Negara.

Percutian menarik melalui KTMB ke Taman Negara akan bermula di stesen KL Sentral di Kuala Lumpur dan berakhir di Jerantut, yang merupakan stesen KTMB terdekat dengan Taman Negara.

Pakej ini menggabungkan konsep beristirehat sambil menikmati perjalanan menaiki kereta api dengan penuh selesa ke sebuah hutan hujan tropika yang tertua di dunia.

Berbanding jika menaiki bas ekspres dari Puduraya, Kuala Lumpur ke Jerantut anda perlu mengambil teksi untuk ke Kuala Tembeling dan dari jeti, pelancong perlu menaiki bot selama tiga jam untuk sampai ke Kuala Tahan.

Sekiranya berkereta pula, anda perlu menggunakan laluan ke Taman Negara yang mengambil masa kira-kira lima jam perjalanan dari ibu kota.

KTMB menganjurkan pakej percutian ke destinasi pelancongan popular itu dengan harga yang sangat menarik terutama pada musim cuti persekolahan.

PERJALANAN SELAMAT

Pengurus Pemasaran Unit Perniagaan Strategik Perkhidmatan Antarabandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Nordin Kimi berkata, perkhidmatan Antarabandar KTMB adalah sesuatu yang mesti dicuba terutama kepada yang mahukan perjalanan yang selamat, bebas dari kesesakan, tenang dan mudah.

"Tiada cara yang lebih baik untuk menikmati keindahan dan keunikannya selain dari menggunakan kereta api," katanya kepada Bernama sewaktu mengiringi rombongan wartawan yang menginap di RainForest Resort pada hari pertama.

Perkhidmatan Ekspres Wau akan berhenti di stesen kereta api Jerantut yang mana sebuah bas mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke Taman Negara.

Mohd Nordin berkata, taman semulajadi itu menyediakan kepada pengunjungnya sebuah kawasan tropika yang menakjubkan.

"Percutian ini menjadi suatu kenangan terindah yang direalisasikan oleh KTMB untuk pengunjung, dan peluang untuk mengenali dan mendekatkan diri antara satu sama lain.

Sumber-sumber rekreasi yang boleh dinikmati oleh pengunjung termasuklah pemerhatian hidupan liar, rekreasi air, pengalaman alam liar, penyelidikan dan pendidikan alam sekitar," katanya.

KAJIAN PENYELIDIKAN DENGAN PELBAGAI SPESIES DAN HABITAT

Taman Negara di Pahang amat terkenal dengan taman yang amat luas serta menyimpan pelbagai rahsia alam untuk dihayati dan dikaji oleh penyelidik dan pengunjung yang mencintai alam semulajadi.

Kedudukannya di Banjaran Titiwangsa, yang meliputi sebahagian Daerah Lipis dan Jerantut di Pahang, dilihat menjanjikan pelbagai kajian penyelidikan ke atas habitat dan spesies hidupan liar.

Penyelidikan dan pengurusan ke atas spesies hidupan liar terutamanya spesies yang terancam dan habitat sebagai usaha memulihara populasi yang sedia ada.

Hutan tanah pamah dipterokap yang meliputi sebahagian besar kawasan ini menampung kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia dan 300 spesies burung yang boleh dijadikan sumber kajian penyelidikan.

Terdapat juga sekurang-kurangnya 80 spesies kelawar dan 30 spesies tikus di Taman Negara. Pada ketinggian 750 meter, hutan-hutan gunung oak, rotan, palma dan konifer boleh ditemui.

Pengurus Pemasaran dan Promosi Perbadanan Bukit Fraser Badan Pelancongan Negeri Pahang, Kamarudin Ibrahim berkata pengurusan kawasan Taman Negara adalah bagi melindungi sumber biologi untuk tujuan saintifik, pendidikan, rekreasi, ekonomi dan lain-lain bagi generasi akan datang.

SATU PAKEJ DESTINASI MENARIK UNTUK PELBAGAI AKTIVITI

Taman seluas 4,343km persegi ini dilindungi sepenuhnya menjadikannya lokasi paling sesuai untuk aktiviti mengembara di samping kepelbagaian sumber kehidupan yang terdapat di dalamnya begitu mengagumkan.

Melancong atau mengunjungi taman ini tidak dikenakan apa-apa bayaran, sama ada bagi pelancong tempatan atau luar negeri dan mereka bebas menikmati keindahan alam sekitarnya.

Apa yang menariknya, produk-produk pelancongan di Taman Negara bukan sekadar menikmati keindahannya malah lebih daripada itu di mana pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti.

Pengunjung berpeluang menikmati keheningan dan keunikan tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar, burung, serangga dan sungai yang indah dengan meniti laluan-laluan hutan yang dibina dengan bantuan pakar yang bertugas mengiringi lawatan.

Selain daripada aktiviti pengembaraan, Taman Negara juga merupakan lokasi yang ideal untuk aktiviti memancing, berakit dan mendaki.

Keindahan Taman Negara akan mula dinikmati sebaik sahaja pengunjung menaiki bot dari jeti Kuala Tembeling di Jerantut menyusuri Sungai Tembeling ke Kuala Tahan yang memakan masa tidak kurang dua jam.

Sepanjang perjalanan dengan bot laju dengan tambang yang dikenakan RM19 seorang, pengunjung akan menyusuri Sungai Tembeling sambil menikmati sebahagian daripada lebih 10,000 spesies flora yang amat menakjubkan.

Taman Negara juga menawarkan Gunung Tahan yang terbuka untuk sesiapa mendakinya, Bukit Teresek yang indah, Lata Berkoh yang menawan untuk dijadikan tempat berkelah, memancing serta berfikir tentang kejadian alam.

Gunung Tahan setinggi 2,187 meter menjadi cabaran kepada pendaki termasuk pendaki bermusim memandangkan jumlah airnya yang terhad dan laluannya yang berliku.

Aktiviti berjalan di atas jambatan gantung sepanjang 400 meter dengan ketinggian 30 meter akan mengajar manusia supaya bersikap berani apabila membuat sesuatu keputusan dan melawan perasaan takut dan gayat kerana anda akan malu untuk berpatah balik apabila sudah berada di tengah jambatan yang di bawahnya terdapat gaung.

KEMUDAHAN DI TAMAN NEGARA

Taman Negara menyediakan pelbagai kemudahan seperti calet, asrama dan tapak perkhemahan dengan kadar berpatutan.

Rainforest Resort menjadi tempat penginapan yang selesa selain Mutiara Resort, Woodland Resort dan Tekam Plantation Resort di sekitar bandar Jerantut.

Ia menyediakan pelbagai jenis bilik dari superior, deluxe, premier deluxe, family suites, junior hinggalah executive suites yang sewanya berharga dari RM200 hingga RM600.

Restoran, kantin dan kedai cendera hati juga disediakan.

Kamarudin berkata, Taman Negara boleh dikatakan syurga hutan yang sangat cantik dan dapat memenuhi kehendak pelawat manakala kebanyakan aktiviti yang diperkenalkan adalah berdasarkan kepada alam semulajadi dan pengurusan sumber yang mapan.

SEJARAH PENUBUHAN TAMAN NEGARA

Taman Negara ditubuhkan pada 1938 yang meliputi Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Dahulu ianya dikenali sebagai King George V National Park bagi memperingati Jubli Perak Kerajaan Diraja British.

Selepas kemerdekaan pada 1957, nama ini ditukarkan kepada Taman Negara. Ia meliputi kawasan seluas 4,343km, yang mana Taman Negara di Pahang melibatkan kawasan terbesar iaitu 2,477km" (57 peratus), diikuti Taman Negara Kelantan dengan keluasan 1,013km" dan Taman Negara Terengganu dengan keluasan 853km".

Ia ditubuhkan bagi melindungi unjuran kawasan hutan dara tanah pamah, bukit dan gunung yang masih ada di Semenanjung Malaysia.

Ianya merupakan satu persekitaran yang komplek dan pelbagai, di mana sebahagian daripada kawasan tanah pamahnya kaya dengan kepelbagaian spesies jika dibandingkan dengan habitat semulajadi lain seluruh dunia.

Secara tidak langsung, kawasan hutan hujan yang berusia 130 juta tahun ini meningkatkan lagi saintifik dan pendidikan negara.

PROGRAM HOMESTAY

Sebanyak 1,500 orang penduduk kampung terbabit dalam program Homestay Perkampungan Rukun Makmur dan Jengka 25 yang dimulakan sejak 2004.

Penyelaras Perkampungan Homestay Jengka 25, Tamrin Zakaria berkata, program ini dilihat sebagai satu usaha positif untuk menggalakkan penduduk luar bandar terutama di kalangan peneroka memajukan industri pelancongan.

Kemudahan dan layanan baik dalam program Homestay ini ternyata menarik pelancong dari luar antaranya Singapura dan Jepun, yang ingin mengenali budaya Melayu dengan lebih dekat lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej kereta api KTMB ke Taman Negara bolehlah layari www.ktmb.com.my.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels