Bernama.com
Am 21 Mei, 2008 15:33 PM
 
Polis Marin Tumpas Kegiatan Curi Kulit Kayu Bakau Oleh Warga Asing


SANDAKAN, 21 Mei (Bernama) -- Polis Marin di sini berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kulit kayu Tangar, spesies kayu bakau di Hutan Paya Bakau Sungai Arbar Jambongan, Beluran dengan tertangkapnya 30 pendatang asing tanpa izin warga Filipina.

Kesemua mereka ditahan dalam sebuah kumpit (sejenis bot) bersama muatan kulit kayu Tangar seberat 20 tan dianggarkan bernilai RM20,000 di kuala sungai itu, kira-kira 100 kilometer di Barat Laut Sandakan pada pukul 11.15 malam, Isnin lepas.

Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Marin Sandakan ASP Ahmad Ariffin berkata ketika ditahan, juragan kumpit itu yang berusia 77 tahun dan 29 pekerjanya berusia 14 hingga 60 tahun didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka juga gagal menunjukkan surat kebenaran pengambilan kulit kayu Tangar itu. Ketika ditahan, kumpit itu dalam perjalanan ke Pulau Kagayan di perairan Filipina yang terletak kira-kira 100 kilometer di Timur Laut Jambongan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah membuat intipan terhadap kegiatan pengambilan kulit kayu Tangar di kawasan tersebut selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya siasatan awal mendapati kegiatan itu telah berlaku sejak lima tahun lepas dan menyebabkan banyak pokok kayu Tangar di kawasan hutan paya bakau itu.

Kegiatan itu mengambil masa yang lama untuk dikesan kerana dipercayai didalangi oleh penduduk tempatan dan lokasi pengambilan kulit kayu yang terletak di kawasan yang terpencil, katanya.

Ahmad berkata di Filipina, kulit kayu Tangar dijual RM1 sekilo dan digunakan sebagai bahan dalam minuman keras, cat, pewarna dan minuman lain.

Beliau meminta penduduk yang tinggal di pesisir pantai dan sungai supaya menyalurkan maklumat kepada Polis Marin Sandakan mengenai kegiatan mencuri hasil hutan paya bakau di talian 089-221424/221423.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels