Bernama.com
Rencana 15 Mei, 2008 19:57 PM
 
Bank Muamalat Beri Peluang Kedua Menerusi Produknya



PELUANG KEDUA … Muamalat Pembiayaan Peribadi-I bukan sahaja merupakan satu pembiayaan malah satu bentuk pelaburan yang dapat mengurangkan beban hutang, kata Ketua Bahagian Pembiayaan Peribadi Berstruktur, En Awang @ Musran Tawil, (Gambar) Foto : Nabilah Saleh

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Menjadi lumrah masyarakat hari ini untuk merujuk kepada pihak bank bila dibebani hutang keliling pinggang.

Namun adakah ini sebaik-baik pilihan yang ada bagi si penghutang? Setelah hutang selesai, adakah terdapat jaminan bahawa seseorang itu tidak akan lagi berhutang di masa-masa akan datang?

Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menerusi produk terbarunya, Muamalat Pembiayaan Peribadi-i menawarkan skim Pembiayaan Pengurusan Kewangan (PPK) yang boleh membantu anda menyelesaikan masalah sedia ada dari awal lagi.

Menariknya, skim yang berlandaskan prinsip-prinsip Syariah ini bukan sahaja merupakan satu pembiayaan malah satu bentuk pelaburan yang dapat mengurangkan beban hutang.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Pepatah Melayu ada menyebut, 'sediakan payung sebelum hujan'. Dalam menangani isu hutang-piutang, Bank Muamalat beranggapan skim ini ibarat 'menghulurkan payung di waktu hujan' kepada para pelanggannya.

Ketua Bahagian Pembiayaan Peribadi Berstruktur Jabatan Pembangunan Perniagaan Pelanggan, Awang @ Musran Tawil berkata, “Pelancaran produk ini bukan hanya semata-mata kerana keuntungan, tetapi menyedari tanggungjawab sosial yang perlu digalas, Bank Muamalat yakin dapat membantu pelanggan menyelesaikan masalah mereka.

Menurutnya lagi, terdapat anggota masyarakat yang menanggung bebanan hutang yang banyak sehinggakan ia menjadi satu tabiat.

Ada kalanya, mereka ini berhutang tanpa mengambil kira kemampuan mereka untuk membayarnya semula.

Kelak, situasi ini akan mengundang masalah dan kesengsaraan bukan sahaja pada si penghutang, tetapi ditakuti ia melibatkan nyawa mahupun harta benda ahli keluarga terdekat. Pada ketika inilah, Bank Muamalat seharusnya menjadi pilihan,” katanya lagi.

Muamalat Pembiayaan Peribadi-i merupakan satu skim pembiayaan bertujuan untuk menyediakan pelaburan bagi menyelesaikan hutang yang membebankan.

Sebagai permulaan, Bank Muamalat memperkenalkan skim ini kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga kakitangan yang berkaitan di dalam Kementerian Pertahanan Malaysia.

MENGAPA ATM?

Menurut Awang, anggota ATM dipilih berdasarkan umur persaraan iaitu pada usia 40 tahun, lebih awal daripada umur persaraan kakitangan-kakitangan awam yang lain.

“Kelompok ini mempunyai lebih kurang 15 tahun lebih awal menyara hidup sebagai pesara berbanding dengan kakitangan awam. Paling membimbangkan, adakah nasib kelompok ini terbela?

Kalau mereka menerima wang pencen separuh daripada gaji semasa berkhidmat, adakah ia mencukupi? Dan sekiranya mereka ada hutang yang perlu diselesaikan, di manakah pula sumber mereka untuk mendapatkan wang? Pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada kelompok ini,” jelasnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Bank Muamalat telah menggariskan beberapa objektif utama bagi skim ini.

OBJEKTIF DAN LANGKAH DIAMBIL

Antaranya, Bank Muamalat akan memberikan pendidikan berterusan kepada golongan ini tentang pengurusan kewangan.

Awang berkata, “Harus diingat, sesiapa jua yang mendaftar di bawah skim ini perlu mengambil tahu objektif skim tersebut dan pada masa yang sama Bank Muamalat akan memperjelas apa yang mereka perlu lakukan.

Dengan adanya program turun padang, sesi taklimat dan kaunseling, segala tunjuk ajar tentang bagaimana mengurus duit (wang) dengan betul akan diberi.”

Menurutnya lagi, pendidikan yang berterusan adalah sangat perlu supaya penghutang tidak berterusan menambah hutang.

“Pengurusan kewangan ini akan diajarkan sejak awal lagi. Kami akan memberitahu mereka agar duit yang diberi ‘diternak’ dan selepas bersara, mereka mempunyai wang pelaburan, caruman daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan gratuiti. Wang tersebut pasti mencukupi sebagai bekalan ke alam persaraan, malah lebih daripada yang diperoleh semasa dalam perkhidmatan.

”Sesudah ada sejumlah duit yang banyak, sekali lagi pihak bank akan menasihatkan mereka supaya (wang tersebut) tidak digunakan untuk perkara-perkara lain, tetapi dilaburkan semula untuk mendapatkan pulangan yang lebih lagi,” tambah Awang.

Selain itu, skim ini menawarkan kadar keuntungan yang sangat kompetitif iaitu 5.5 peratus. Kadarnya yang tetap dan segala urusannya yang berlandaskan prinsip-prinsip Syariah merupakan antara ciri-ciri lain yang dapat menarik minat pelanggan.

Tambahan pula, Bank Muamalat memberikan tempoh kewangan yang panjang iaitu 15 tahun dari umur persaraan.

Tempoh yang panjang membolehkan pelanggan membayar ansuran bulanan yang rendah dan mempunyai perlindungan takaful sekiranya berlaku kematian .

Ternyata, skim yang kali pertama seumpamanya diwujudkan di dalam negara ini sangat komprehensif dalam memenuhi segala keperluan pelanggan.

SERUAN KEPADA PARA MAJIKAN

Walaupun sebenarnya Bank Muamalat menghadapi risiko dan cabaran dalam memperkenalkan skim ini memandangkan belum ada bank lain yang menawarkan skim yang serupa, namun Bank Muamalat tidak mahu ‘menghukum’ seseorang itu hanya kerana kesilapannya berhutang.

“Pada peringkat awal, Bank Muamalat hadapi sedikit kesukaran berikutan kami hanyalah sebuah bank kecil. Maka, sudah tentu pelbagai aspek perlu diambil kira untuk memastikan skim ini berjaya.

“Di dalam permasalahan ini, Bank Muamalat perlu memberi peluang kedua dan tunjuk ajar supaya kesilapan lalu tidak berulang,” jelas Awang, yang percaya kepakaran pihak bank adalah terbaik untuk semua.

Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, namun Bank Muamalat telah berjaya menarik seramai 1,600 anggota tentera untuk mendaftar di bawah skim ini. Tidak mustahil bilangan ini akan bertambah selepas pelancaran rasmi pada Mei ini, jelas Awang.

Tambahnya lagi, "Memandangkan produk ini merupakan structured personal financing (pembiayaan peribadi berstruktur), sekiranya ada organisasi-organisasi lain yang berminat, produk ini boleh ditawarkan dengan dua syarat: Pertama, memilih Bank Muamalat sebagai pembayar gajinya; dan kedua, Jabatan Sumber Manusia organisasi tersebut haruslah bersetuju melakukan pemotongan gaji menerusi skim ini.”

Bank Muamalat optimis dengan matlamat yang disasarkan iaitu jualan sebanyak RM360 juta menerusi skim ini. Bagi Bank Muamalat, taraf hidup anggota tentera harus diubah dan tidak harus lagi berada di takuk lama.

Organisasi-organisasi di luar sana yang berminat dengan produk terbaru Bank Muamalat ini boleh menghubungi Bank Muamalat di talian 03-2698 8787 atau melayari laman web www.muamalat.com.my.

-- BERNAMA
Copyright © 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels