Bernama.com
Ekonomi 13 Mei, 2008 21:42 PM
 
Kaedah Pengiraan Perubahan Harga Besi, Kementerian Akan Keluarkan Surat Pekeliling


KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Kewangan akan mengeluarkan Surat Pekeliling mengenai kaedah pengiraan perubahan harga besi keluli dalam masa terdekat berikutan pemansuhan harga siling bagi besi keluli.

Dalam satu kenyataan di sini, kementerian itu berkata kontraktor yang sedang melaksanakan projek kerajaan secara kaedah konvensional boleh memohon untuk dipertimbangkan perubahan harga kontrak berdasarkan harga pasaran besi keluli semasa.

"Permohonan oleh kontraktor hendaklah dibuat melalui agensi pelaksana seperti mana amalan sekarang," katanya.

"Kaedah pengiraan perubahan harga ini berkuat kuasa mulai 12 Mei."

Menurut Kementerian Kewangan, pada masa ini, kontrak konvensional kerajaan bagi kerja sivil dan bangunan telah diperuntukkan klausa kontrak mengenai perubahan harga.

Bagi kontrak kerja sivil, ia berkata kaedah pengiraan perubahan harga yang digunakan adalah berasaskan kepada harga transaksi.

"Kaedah pengiraan ini akan diteruskan," kata kementerian itu.

Bagi kontrak kerja bangunan, kementerian itu berkata kaedah pengiraan harga adalah berasaskan kepada indeks kos 15 bahan binaan, termasuk besi.

Menurutnya lagi, kaedah ini akan disemak semula di mana pengiraan perubahan harga besi keluli yang dicadangkan akan berasaskan kepada harga pasaran dan dikira secara berasingan daripada indeks bahan binaan.

Kementerian Kewangan juga berkata kontrak reka dan bina yang kini tidak mengandungi klausa perubahan harga bakal mengandungi klausa tersebut.

"Sebagai langkah mengurangkan risiko perubahan harga yang ditanggung kontraktor, kontrak reka dan bina baru mulai 12 Mei akan mempunyai klausa kontrak perubahan harga khusus untuk besi keluli," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels