Bernama.com
Am 08 Mei, 2008 18:40 PM
 
Ahmad Said Perjelas Kekeliruan Arah Kiblat Masjid Kristal


KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said memberitahu Dewan Undangan Negeri hari Khamis arah kiblat di Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man tidak perlu dipertikaikan kerana telah ditentukan beberapa kali ketepatannnya oleh pihak berkenaan.

Ahmad (BN-Kijal) berkata, kerja-kerja penentuan arah kiblat Masjid Kristal telah ditentukan sebelum pembinaan, semasa dan selepas pembinaan masjid itu oleh pihak mufti negeri dengan kerjasama Jabatan Pemetaan dan Pengukuran Terengganu.

"Penyataan arah kiblat ini telah dibuat beberapa kali termasuk kali terakhir 3 April lepas dan Jabatan Mufti sendiri telah mengeluarkan sijil yang menyatakan arah kiblat yang ditunjukkan dalam Masjid Kristal adalah tepat," katanya.

Ahmad menjawab soalan oleh Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) semalam yang meragui ketepatan arah kiblat masjid itu kerana dikatakan berbeza dengan arah yang ditunjukkan oleh kompas.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, keadaan itu mungkin berlaku disebabkan gangguan magnetik di dalam masjid itu yang terlalu kuat kerana struktur utama Masjid Kristal adalah diperbuat daripada besi keluli.

Ahmad meminta pihak pembangkang agar tidak lagi membangkitkan perkara yang sama kerana ia khuatiri boleh menimbulkan fitnah di kalangan rakyat serta pengunjung ke masjid itu.

Mengulas tentang kekurangan tempat letak kereta di sekitar Bandar Kuala Terengganu, Ahmad berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan RM4 juta untuk pembinaan sebuah kawasan tempat letak kereta di Jalan Sultan Zainal Abidin berhadapan Pejabat Pos Kuala Terengganu.

Beliau menyindir sikap rakyat negeri ini yang disifatkannya malas berjalan dan suka meletakkan kenderaan mereka di kawasan berhampiran tempat mereka membeli belah sehingga menyebabkan kesesakan.

"Kalau di Kuala Lumpur mereka sanggup letak kereta di bangunan tiga hingga empat tingkat... berpusing-pusing dan berjalan jauh.

"Tetapi di sini, kalau boleh di situ tempat dia membeli, di situ jugalah tempat letak kereta," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels