Bernama.com
Am 06 Mei, 2008 16:29 PM
 
Kadar Kemiskinan Di Terengganu Turun Mendadak


KUALA TERENGGANU, 6 Mei (Bernama) -- Kadar kemiskinan di Terengganu menurun mendadak kepada 6.5 peratus tahun lepas daripada 15.4 peratus pada 2004, Dewan Undangan Negeri Terengganu diberitahu hari ini.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman berkata, dalam tempoh yang sama, kadar kemiskinan tegar juga menurun kepada 0.8 peratus daripada 4.4 peratus.

"Oleh itu kita yakin matlamat untuk mengurangkan kadar kemiskinan mutlak daripada 15.4 peratus kepada 2.8 peratus dan bilangan miskin tegar sifar pada 2010 akan dapat dicapai," katanya ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa.

Tengku Baderulzaman meminta kerajaan negeri agar terus memberi penekanan secara menyeluruh terhadap dasar dan program membasmi kemiskinan dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah miskin.

Katanya melalui peruntukan yang besar iaitu RM287 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan RM30 juta peruntukan tahunan kerajaan negeri, penyampaian dan pemantauan program pembasmian kemiskinan serta penyelarasan antara agensi pelaksana perlu dipertingkat untuk memastikan objektif itu dapat dicapai.

Beliau berkata bahawa rakyat di negeri itu juga perlu mengubah sikap dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan serta mengikis mentaliti subsidi kerana kerajaan telah menghulurkan pelbagai bantuan kewangan dan tempat tinggal yang lebih baik.

"Kerajaan perlu menerapkan rakyat Terengganu dengan budaya memberi, mencipta serta melaksana dan bukannya meminta," katanya.

Tengku Baderulzaman juga meminta kerajaan negeri terus memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi serta mempelbagaikan asas ekonomi negeri terutama sektor pelancongan, pertanian, perkhidmatan, inovasi dan kreativiti.

Program-program mempertingkatkan mutu modal insan juga perlu diberi penekanan dengan mewujudkan guna tenaga berkemahiran dan berpengetahuan serta mengurangkan ketidakseimbangan tahap sosio ekonomi antara kawasan, katanya.

Beliau juga berkata ekoran keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas, isu-isu berbentuk perkauman seperti hak keitimewaan orang Melayu telah diungkit dan ini sedikit sebanyak telah menggugat kestabilan politik negara.

Oleh itu, katanya, segala usaha hendaklah diambil bagi mengekalkan kestabilan politik dan hubungan antara kaum di negara ini.

"Tanpa keharmonian kaum, ketenteraman awam dan kestabilan politik, usaha pembangunan negeri akan terjejas," katanya.

Tengku Baderulzaman berkata satu lagi perkara yang menjejaskan keharmonian hidup masyarakat pada masa kini ialah isu kenaikan harga barangan akibat kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.

Beliau menyeru rakyat agar menghadapi isu itu dengan bijaksana termasuk berbelanja dengan secara berhemah manakala peniaga tidak seharusnya mengambil kesempatan ini dengan menaikkan harga barang untuk mengaut untuk lebih.

Persidangan disambung esok.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels