Bernama.com
Am 06 Mei, 2008 15:19 PM
 
Kes Keganasan Rumah Tangga Di Malaysia Meningkat


KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Kes keganasan rumah tangga meningkat daripada semasa ke semasa walaupun wujud perundangan serta pelaksanaan pelbagai program kesedaran bagi membendung gejala itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata mengikut statistik sebanyak 529 kes keganasan rumah tangga dilaporkan tahun lepas berbanding 485 kes pada tahun 2006, 421 kes (2005) dan 560 kes (2004).

"Statistik ini tidak termasuk kes yang mungkin tidak dilaporkan. Walaupun Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah diwujudkan, tetapi kes keganasan rumah tangga tidak turun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keganasan Rumah Tangga di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, Selasa.

Kira-kira 100 peserta menyertai seminar anjuran Puspanita DBP dan Yayasan Amanah Saham Wanita (Asnita) itu bagi mendedahkan mereka kepada perkembangan terkini isu rumah tangga dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 di mahkamah sivil dan syariah di Malaysia.

Ng berkata mengikut kajian kementerian, keganasan rumah tangga yang berlaku bukan sahaja memberi impak kepada isteri atau suami, tetapi juga kepada anak-anak.

"Anak lelaki yang semasa kecil melihat ibunya didera, mungkin akan buat perkara sama apabila berkahwin kerana menganggap ia (dera) perkara biasa. Anak perempuan pula mungkin enggan berkahwin kerana fobia," katanya.

Ng berkata keganasan rumah tangga juga turut berlaku di kalangan wanita golongan profesional seperti doktor dan peguam, tetapi tidak dilaporkan kerana takut dicemuh masyarakat.

Mengenai saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang meminta masyarakat berbelanja mengikut kemampuan ketika dunia mengalami kekurangan bekalan makanan sekarang, Ng berkata kaum wanita di rumah juga perlu mengelakkan sebarang pembaziran.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels