Bernama.com
Rencana 06 Mei, 2008 12:03 PM
 
Ambil Berat Kepentingan Penjagaan Paliatif


Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Penjagaan paliatif (Palliative Care) yang sering dikaitkan dengan penghidap penyakit yang boleh membawa maut mampu menjadikan sisa-sisa kehidupan seseorang pesakit itu lebih tenang dan bermakna.

Malah ahli keluarga pesakit juga lebih mudah menerima kenyataan orang yang disayangi menghidap penyakit yang boleh membawa maut dan lebih bersedia apabila pesakit akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir.

Berbanding dengan negara-negara maju seperti United Kingdom, hospital-hospital di Malaysia secara umumnya masih jauh ketinggalan dalam bidang penjagaan paliatif.

Malah penjagaan paliatif juga dilaporkan sudah jauh berkembang pesat di negara jiran Singapura.

Ini adalah antara pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Hospis Malaysia, Dr Ednin Hamzah dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Ditubuhkan pada 1991, Hospis Malaysia adalah sebuah organisasi kebajikan yang menawarkan khidmat penjagaan paliatif untuk pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang boleh membawa maut termasuk kanser di sekitar Lembah Klang.

Pesakit-pesakit berkenaan, menurut Dr Ednin dirujuk kepada Hospis Malaysia oleh pihak doktor di hospital atau klinik di mana mereka mendapat rawatan.

PENTINGNYA PENJAGAAN PALIATIF

Menurut definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penjagaan paliatif adalah pendekatan untuk membaiki kualiti kehidupan pesakit serta keluarga mereka dalam berhadapan dengan masalah berkaitan penyakit yang boleh membawa maut. Ia tidak terhad untuk pesakit kanser sahaja.

Dr Ednin menjelaskan, ia dilakukan menerusi pencegahan serta meringankan penderitaan dengan kaedah mengenal pasti dan merawat lebih awal kesengsaraan (pain) bukan sahaja yang ditanggung pesakit tetapi juga anggota keluarga pesakit.

"Tumpuan penjagaan paliatif ialah kepada isu kesan penyakit bukan untuk penyakit kanser sahaja tetapi apa-apa sahaja penyakit yang teruk seperti kegagalan organ dan Aids," tambah beliau.

Menurut Dr Ednin yang juga Pengarah Perubatan Hospis Malaysia, kesan penyakit mempunyai empat tahap iaitu kesan fizikal (contoh tidak boleh berjalan, susah bernafas, muntah ), kesan sosial (masalah kewangan, penjagaan), kesan psikologikal (pesakit dan keluarga seperti ketakutan, penderitaan, perasaan insaf dan kesan kerohanian (contoh pesakit menyoal sama ada dia telah menjadi insan yang baik dan apa nasib isteri dan anak-anak selepas kematiannya.)

"Secara umumnya, pendekatan perubatan yang lazim diamalkan hanya bertumpu kepada kesan fizikal dan sedikit kesan sosial. Pengamal perubatan takut nak sentuh kesan-kesan psikologikal dan kerohanian.

"Jika anda berjumpa doktor, biasanya doktor akan bertanya sakit apa, nak cuti sakit ke. Doktor biasanya memikirkan masa yang terpaksa dihabiskan bersama pesakit. Dia tak tanya apakah anda sugul, murung atau apakah anda rasa penyakit ini sebagai balasan dari Tuhan, khususnya, kebanyakan doktor mementingkan pemberian ubat atau meminta ujian perubatan dari meneliti masalah sebenarnya dari segi pesakit," kata Dr Ednin.

Tambahnya, kenyataan yang dibuatnya itu adalah antara keluhan dan rungutan pesakit yang mendapatkan penjagaan paliatif di Hospis Malaysia.

KURANG PERHATIAN

Menurut Dr Ednin, penjagaan paliatif menjadi satu keistimewaan di United Kingdom sejak 1987.

"Semasa saya belajar di sekolah perubatan di sana pun, penjagaan paliatif telah diajar, semasa latihan pun ada ditekankan penjagaan paliatif.

"Di negara kita, kebanyakan pelajar perubatan tidak banyak didedahkan dengan penjagaan paliatif. Jika di United Kingdom, pelajar perubatan belajar enam hingga lapan minggu penjagaan paliatif, di sini paling banyak dua hari sepanjang lima tahun pengajian mereka," dakwa Dr Ednin yang bekerja selama 11 tahun sebagai doktor di United Kingdom sebelum kembali ke Malaysia pada 1997 dan berkhidmat dengan Hospis Malaysia.

Beliau memberitahu, memandangkan kekurangan yang berlaku sekarang, amat perlu semua pihak yang terbabit dalam penjagaan kesihatan memahami asal-usul penjagaan paliatif supaya kepentingannya dapat dihayati dan diamalkan sepenuhnya.

ASAL-USUL HOSPIS

Menurut Dr Ednin, perkataan hospis mula digunakan antara abad ke-13 dan 14 di Eropah sebagai rumah rehat sebelum dijadikan tempat untuk pesakit-pesakit yang nazak sewaktu merebaknya wabak penyakit di benua tersebut.

"Bertolak dari situ, hospis menjadi tempat untuk pesakit yang berada di ambang maut dengan dijaga jururawat. Kebanyakan hospis dikendalikan pihak gereja," katanya.

Beliau memberitahu, seorang jururawat di London kemudiannya membawa pengertian baru dalam bidang hospis dan penjagaan paliatif mula mendapat pengiktirafan antara tahun 1960 hingga 1970.

"Jururawat ini tidak puas hati dengan cara penjagaan pesakit. Dia mula membuat penyelidikan bagaimana bidang perubatan boleh membantu pesakit antaranya dari segi pengurusan kesengsaraan dan pemakanan.

"Jururawat ini menjadi doktor yang bertauliah dalam usia 40-an dan membuka hospis moden yang pertama iaitu St Christopher Hospice di London yang menggabungkan perubatan penjagaan orang yang nazak serta ilmu yang sedia ada di bidang perubatan. Beliau adalah pengasas falsafah penjagaan paliatif," kata Dr Ednin.

Jururawat yang dimaksudkannya itu ialah Dame Cicely Saunders, dilahirkan pada 22 Jun 1918 dan meninggal dunia akibat kanser pada 2005 ketika berusia 87 tahun.

BAKTI HOSPIS MALAYSIA

Hospis Malaysia menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif secara percuma.

Menurut Dr Ednin, pihaknya berpegang kepada falsafah bahawa "beban penyakit yang ada kepada pesakit sudah cukup tinggi, cukup berat, tak payah kita tambahkan dari segi mengenakan apa-apa bayaran.

"Pesakit juga tidak memilih untuk mendapat penyakit kanser, sebagai contoh. Untuk itu, kita kena beri rawatan yang paling bagus secara percuma jadi kita kena cari duit untuk melaksanakan kewajipan ini," jelasnya.

Beliau memberitahu, Hospis Malaysia memerlukan antara RM1.6 juta hingga RM1.8 juta setahun untuk membiayai operasinya.

Tahun lalu, seramai 1,389 pesakit dirujuk kepada Hospis Malaysia berbanding 1,185 pesakit pada 2006.

Lebih 90 peratus daripada pesakit-pesakit itu menghidap kanser (termasuk payu dara, kolon, paru-paru peringkat ke-3 dan ke-4.

"Sekarang kita ada empat doktor dan sembilan jururawat termasuk seorang jururawat sambilan. Kita juga ada seorang 'occupational therapist'. Perkhidmatan kita adalah 24 jam bagi menampung keperluan pesakit yang mungkin memerlukan bantuan bila-bila masa," tambah Dr Ednin.

Beliau memberitahu, Hospis Malaysia menyediakan jagaan harian setiap Selasa dan Khamis, dari jam 10:00 pagi hingga 4:00 petang untuk pesakit yang boleh bergerak.

Bagaimanapun, menurut Dr Ednin, pihaknya hanya boleh menerima 20 pesakit sahaja untuk setiap hari jagaan harian memandangkan tempat dan kakitangan serta sukarelawan yang terhad.

"Khidmat ini disediakan bagi meringankan beban penjaga pesakit dan mengurangkan rasa bosan pesakit. Bila datang ke sini mereka boleh berinteraksi dengan pesakit-pesakit lain. Kita juga antaranya akan kaji keadaan perubatan mereka dan buat fisioterapi atau 'occupational therapy'," jelas beliau.

Di samping itu, beliau berkata, pihaknya juga mengadakan kunjungan ke rumah dan kawasan-kawasan yang diliputi adalah sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Puchong, Cheras, Serdang, Subang Jaya, Damansara, Bangsar, Selayang, Kepong, Wangsa Maju dan Ampang.

"Kekerapan lawatan bergantung kepada keperluan pesakit. Kita akan memberi perkhidmatan ini sehingga pesakit meninggal dunia. Selepas itu pun kita akan terus melawat keluarga jika diperlukan untuk bertanya khabar dan sama ada mereka mereka memerlukan kaunseling," tambah Dr Ednin.

Sebagai usaha untuk meningkatkan pengetahuan dalam penjagaan paliatif, Hospis Malaysia turut menganjurkan bengkel untuk doktor dan jururawat swasta dan kerajaan. Antara modul yang diajar ialah kemahiran berkomunikasi.

"Antara rungutan pesakit yang kami kendalikan ialah doktor kurang berkomunikasi dengan mereka tentang penyakit yang mereka hidapi. Ada doktor yang beranggapan pesakit tidak akan faham jika dia menerangkan tentang penyakit.

"Kami juga membawa doktor dan jururawat ke rumah pesakit, apa yang mereka perlu buat, bagaimana nak bercakap. Kerana tak biasa, ada yang takut. Mereka boleh rasakan bagaimana pesakit yang pertama kali menjejak kaki ke hospital pun akan mengalami perasaan takut yang sama," katanya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels