Bernama.com
Am 05 Mei, 2008 14:34 PM
 
Syarat Pohon Skim Tabung Ekonomi Belia Dilonggarkan


PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) -- Syarat-syarat bagi memohon Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB) akan dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai belia menyertai bidang keusahawanan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata bagi tujuan itu pihaknya sedang mengkaji semula syarat-syarat permohonan skim tersebut, yang juga akan memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

"Kita mahu menggalakkan mereka supaya menjadi usahawan. Mereka mempunyai pendidikan formal dari segi kemahiran, dan jika dapat direalisasikan, mereka akan lebih berjaya," katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen IKBN/Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Beliau berkata tabung amanah yang mempunyai dana RM40 juta itu sudah meluluskan pinjaman bernilai RM1.7 juta sehingga ini, dan dengan syarat-syarat yang dilonggarkan, ia diharap dapat membantu lebih ramai belia terutama lepasan IKBN.

"Saya harap melalui pendekatan ini lebih ramai lepasan IKBN akan menceburi bidang perniagaan, selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai bumiputra yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan," katanya.

Ismail berkata IKBN juga akan dijenamakan semula dengan merangka pelbagai program untuk memantapkan institusi itu seperti mewujudkan Briged Polis DiRaja Malaysia dan memperbanyakkan program bersama masyarakat.

"Mungkin pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran seperti menjahit, memasak dan bertukang boleh membantu melatih masyarakat di sekitarnya. Mereka lebih rapat dengan rakyat, dan masyarakat juga akan mendapat faedahnya," katanya.

Beliau berkata Alumni IKBN juga akan dilancarkan bagi mengenal pasti pelajar-pelajar IKBN yang berjaya, juga bagi mewujudkan jaringan hubungan, terutamanya dalam bidang perniagaan di antara pelajar-pelajarnya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu Ismail berkata, kementerian belia dan sukan akan mendapatkan input mengenai bidang pekerjaan daripada kalangan pihak industri, menerusi pengaktifan semula Majlis Penasihat Kemahiran.

"Majlis yang akan dianggotai oleh ahli-ahli dari sektor industri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor awam itu nanti akan memberi pandangan, syor dan khidmat nasihat kepada kementerian itu dalam menggubal dasar dan menentukan hala tuju program pembangunan latihan kemahiran," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels