Bernama.com
Ekonomi 02 Mei, 2008 12:27 PM
 
SM Nasimuddin Contoh Tokoh Perniagaan Melayu Berjaya, Kata Rafidah


KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pemergian pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin kerana barah paru-paru di Los Angeles, Amerika Syarikat pada pagi Khamis, merupakan kehilangan besar kepada negara.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berkata negara kehilangan seorang tokoh perniagaan Melayu yang sangat berjaya dan beliau harus menjadi contoh kepada semua.

"Saya kenal rapat beliau dan memahami semangat inovasi dan pandangan jauh Allahyarham. Beliau nampak peluang-peluang dan berusaha gigih merealisasikannya," kata Rafidah.

"Saya sedih dan mengucapkan takziah kepada Puan Sri Zaleha Ismail dan keluarga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar menyifatkan SM Nasimuddin sebagai seorang perintis dan usahawan yang paling berjaya dan ini terbukti hasil kejayaan beliau menjadikan Kumpulan Naza sebagai kumpulan automotif yang disegani di Malaysia dan luar negara.

"Nasimuddin telah membawa banyak perubahan kepada setor automotif dalam negara, usahawan yang berjaya, tabah dan gigih, namun tidak memandang rendah terhadap orang lain, termasuk pesaingnya," katanya.

Syed Hafiz berkata SM Nasimuddin juga mengambil berat perkembangan automotif negara, termasuk perkembangan prestasi dan pencapaian Perodua walaupun Allahyarham sendiri mempunyai empayar perniagaan yang besar.

Syed Hafiz yang pernah duduk semeja dan berbincang mengenai prestasi Perodua bersama Nasimuddin, turut menyifatkan pemilik Kumpulan Naza itu mempunyai "sentuhan peribadi" di Perodua.

"Perbincangan kami amat baik. Beliau begitu mengambil berat dan berminat untuk berbincang dan merangka strategi bagi melariskan lagi penjualan kereta-kereta Perodua di sekitar kawasan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur," katanya.

Kumpulan Naza ialah pengedar Perodua untuk kawasan tersebut.

Syed Hafiz yakin Kumpulan Naza akan terus berjaya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tan Chong Motor Sdn Bhd, Datuk Dr Ang Bon Beng berkata Nasimuddin dihargai kerana "menglokalkan" sektor automotif Malaysia.

Beliau berkata penghormatan itu penting berdasarkan usaha beliau "menasionalkan" kenderaan Perancis, Korea dan China sebagai kenderaan nasional.

"Tan Sri Nasimuddin adalah pemimpin yang hebat dan merupakan usahawan Melayu utama dalam komuniti perniagaan Malaysia.

"Beliau adalah pesonaliti automotif yang begitu komited, mempunyai visi hebat, inovasi dan minat mendalam, dalam industri automotif Malaysia. "Malaysia kehilangan tokoh korporat yang hebat, industri automotif hilang bintang dan saya kehilangan rakan baik," katanya.

Edaran Tan Chong Motor, anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holdings Bhd, ialah cabang pemasaran dan jualan kenderaan-kenderaan Nissan di Malaysia Kumpulan itu juga terlibat dalam pemasangan dan pengedaran beberapa kenderaan Nissan di Rawang, Selangor.

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Corp Bhd, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, menyuarakan kesedihan beliau di atas pemergian Nasimuddin, yang disifatkannya sebagai usahawan pintar.

"Kita kehilangan usahawan pintar. Beliau ialah usahawan yang baik, saya sedih. Kita kehilangan usahawan yang baik, seperti Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad (DRB-HICOM), dan kini Nasimuddin, saya mendoakan keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan," katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Proton Holdings Bhd, dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata Allahyarham Nasimuddin -- yang sangat berminat terhadap kereta -- merupakan tokoh penting dalam memajukan industri automotif tempatan.

Menurut kenyataan itu, Nasimuddin meninggalkan legasi pemanduan seperti yang dibuktikan menerusi usahanya membangunkan Kumpulan Naza.

"Sumbangan besar beliau yang mengubah landskap industri automotif, akan dikenang.

"Beliau membuktikan disiplin yang baik dan walaupun melakar kejayaan, beliau sentiasa merendah diri.

Beliau adalah contoh ikutan utama di Malaysia," katanya. Pengarah Urusan Weststar Group of Companies, Datuk Seri Syed Azman Syed Ibrahim berkata beliau terkejut mendengar kematian Nasimuddin.

"Beliau ialah usahawan Bumiputera paling berjaya dalam industri automotif.

"Malaysia kehilangan tokoh dan bagi kami dalam industri, ia merupakan kehilangan besar" katanya.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Mohamed Izat Emir, berkata Nasimuddin ialah usahawan terbilang, tetapi sentisa merendah diri. "Beliau memiliki personaliti menarik yang menjadi inspirasi kepada ahli perniagaan yang baru meningkat naik," katanya.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak berkata Nasimuddin merupakan contoh terbaik usahawan Bumiputera yang mahu dilahirkan oleh Malaysia.

"Beliau diberi peluang dan telah menggunakannya untuk membangunkan perniagaan yang kukuh dan berjaya, tanpa meminta sokongan atau bantuan.

"Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada komuniti perniagaan negara," katanya.

Lembaga Pengarah UMW Toyota Motor Sdn Bhd pula berkata Nasimuddin memain peranan penting dalam pertumbuhan, peluasan dan kepelbagaian Kumpulan NAZA dan sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Bhd, Datuk Mohd Khamil Jamil berkata syarikat itu terkejut dan sedih atas kematian Nasimuddin. "Industri automotif Malaysia hilang usahawan dan ahli perniagaan sebenar.

"Beliau berkata negara hilang ahli perniagaan Melayu tulen.

Beliau berkata Nasimuddin ialah orang yang meminati apa yang dilakukan, tahu apa yang dilakukan dan mengusahakannya sehingga berjaya.

Beliau adalah contoh sebenar untuk diikuti semua ahli perniagaan Melayu.

"Keikhlasan dan sikap terbuka Nasimuddin terhadap mereka yang memerlukan, akan sentiasa diingati. Beliau sentiasa merendah diri terhadap sesiapa sahaja yang datang bertemunya dan tidak pernah lokek untuk berkongsi pengalaman dan kebijaksanaanya.

"Kami di DRB-HICOM mengucap takziah kepada isterinya Puan Sri Zaleha Ismail dan anak-anak," katanya.

-- BERNAMA




Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels