| Abdullah Setuju Jika Siaran Langsung Dewan Rakyat Dihentikan |
|
KUWAIT CITY, 1 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang Dewan Rakyat semalam sebagai "keterlaluan" dan bersetuju dengan sebarang keputusan untuk menghentikan siaran langsung persidangan dewan selama setengah jam menerusi saluran RTM1.
Perdana Menteri yang berada di Dewan Rakyat semalam, berkata beliau berasa malu dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi ia dapat disaksikan oleh orang ramai menenerusi siaran langsung televisyen.
"Saya rasa seolah-olah semua ini terjadi kerana ada tv yang membuat rakaman dan masing-masing nampaknya ingin dilihat berbahas atau beraksi dalam dewan pada waktu itu," katanya kepada wartawan Malaysia sejurus sebelum berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah selepas menghadiri sesi penutup Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) Keempat di sini Khamis.
Semalam, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan itu.
Ahmad Shabery berkata keputusan sama ada Kementerian Penerangan meneruskan siaran langsung itu akan dibuat oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada Jumaat.
Ditanya sama ada sebarang keputusan menghentikan siaran langsung itu boleh menimbulkan andaian bahawa tiada ketelusan, Abdullah berkata perkara itu tidak timbul kerana wartawan bebas membuat liputan perbahasan di Parlimen dan orang ramai boleh pergi ke Parlimen untuk mengikuti sesi perbahasan yang berlangsung.
Mengulas lanjut mengenai perkataan kurang enak seperti "Bigfoot" dan "big monkey" yang dilontarkan di Dewan Rakyat semalam, Abdullah berkata ini tidak sepatutnya berlaku.
Anggota Parlimen, katanya perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika mengambil bahagian dalam perbahasan dan sesi soal jawab.
Abdullah berkata keputusan-keputusan lepas berhubung peraturan mesyuarat boleh dijadikan rujukan jika timbul sebarang perbezaan interpretasi dalam kalangan anggota Parlimen.
Ditanya sama ada beliau yakin dengan kemampuan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengendalikan sidang berikutan apa yang berlaku, Abdullah berkata: "Bagilah dia peluang. Dia bukan orang yang tak pernah ada pengalaman.
"Boleh jadi dalam keadaan semalam itu nampak seolah-olah dia tak tahu (mengendalikan keadaan), tapi dia tahu. Ada perkara yang bersabit dengannya dia telah membuat keputusan dan keputusan itu boleh diterima. Cuma masih ada bantahan. Bukan tak pernah berlaku dulu," katanya.
Perdana Menteri turut ditanya mengenai kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting yang mahu orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk berkahwin, dibenarkan kembali ke agama asal jika perkahwinan itu berakhir.
"Hal-hal berkaitan dengan isu ini, pihak Jabatan Peguam Negara sedang meneliti satu undang-undang. Ia belum siap lagi," kata Abdullah.
Katanya Peguam Negara telah berjumpa dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan pandangan sebelum perkara itu dibentangkan di Dewan Rakyat.
-- BERNAMA
|
|
|