Bernama.com
Am 30 April, 2008 10:59 AM
 
Peluru Berpandu Dan Kapal Baru Untuk TLDM Dalam RMK9 Dan RMK10


SEREMBAN, 30 April (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengumumkan keperluan untuk memperoleh sistem peluru berpandu jarak sederhana dan kapal pemerintah serta pengangkut baru sebagai pembelian seterusnya melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Menurut Panglima TLDM Laksanama Datuk Abdul Aziz Jaafar, sistem peluru berpandu Starbust yang diguna untuk mempertahankan pangkalan-pangkalannya sudah lapuk dan tidak mampu menangani ancaman pesawat penyerang musuh.

"Kita tidak mahu peluru berpandu jarak pendek (VSHORAD) macam Starbust. Sekarang pun pesawat musuh boleh buat serangan dari jauh dengan jarak optimum 25 kilometer dan ada yang boleh melepaskan peluru berpandu dari jarak 60 kilometer," katanya kepada Bernama.

Abdul Aziz berkata radar yang diletakkan di bawah Sistem Pertahanan Udara Nasional (SPUN) pun boleh mengesan pesawat musuh dari jarak ratusan kilometer, jadi peluru berpandu yang bakal dibeli mesti boleh menangani masalah antara jarak 20 kilometer dan 40 kilometer.

Beliau bagaimanapun mengakui TLDM tidak menguji sebarang peluru berpandu pertahanan yang ada di pasaran sekarang ini kerana urusan pembelian dan penilaian dibuat oleh Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) yang terletak di bawah penguasaan tentera darat.

"Peluru berpandu itu tidak akan dinilai oleh TLDM kerana kita beri kepercayaan kepada GAPU. TLDM tidak akan mempunyai sistem peluru berpandu pertahanan darat yang berlainan jenis, kita mesti integrasikan peluru berpandu kita di bawah SPUN. Jadi, ketiga-tiga cabang ketenteraan akan memakai sistem yang sama," katanya.

Beliau menjangkakan pembelian itu mungkin dibuat pada RMK10 memandangkan sistem peluru berpandu itu memerlukan radar baru yang berkeupayaan tinggi dan jumlahnya juga dalam kapasiti besar kerana akan dipakai oleh cabang laut, udara dan darat.

TLDM juga memerlukan sistem pertahanan "Close In Weapon System" sebagai perisai terakhir untuk menangkis peluru berpandu yang berjaya ditembak dan sedang menuju ke kapal, kata Abdul Aziz.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels