Bernama.com
Am 29 April, 2008 16:32 PM
 
Perlembagaan Umno Benarkan EGM, Kata Ku Li


KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Perlembagaan Umno membenarkan bahagian-bahagian parti mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

"Perlembagaan parti membenarkannya. Saya bukan kata ia bertentangan dengan semangat (parti) tetapi jika mahu mengadakan mesyuarat agung, tiada yang dapat menghalangnya. Ia dibenarkan oleh perlembagaan.

"Tetapi sama ada mereka boleh mendapatkan sebanyak mana (bahagian) untuk mengadakan mesyuarat serupa supaya mereka dapat mengadakan perhimpunan agung luar biasa, itu merupakan perkara berbeza," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian sidang pertama Parlimen ke-12 di sini hari ini.

Tengku Razaleigh, yang juga anggota Parlimen Gua Musang, mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam supaya semua bahagian parti berhenti mengadakan EGM untuk membincangkan masalah parti dan menggesa pemimpin meletak jawatan.

Tengku Razaleigh berkata ini akan hanya menggalakkan akar umbi menyuarakan pendapat mereka secara tidak mengikut undang-undang. "Pemimpin menggesa anggota parti berjumpa mereka. Kenapa mereka tidak menggalakkan mereka mengadakan mesyuarat mengikut prosedur yang ditetapkan perlembagaan parti," katanya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Abdullah berkata daripada mengadakan mesyuarat bagi mendesak peralihan kuasa sebelum pemilihan parti Disember ini, anggota Umno sepatutnya menumpukan kepada perkara berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Lagipun, beliau berkata pucuk pimpinan sudah menerima dan memahami kehendak akar umbi.

Tengku Razaleigh berkata kurangnya mesyuarat dan perundingan akan hanya melemahkan parti.

"Perasaan rakyat tidak dapat dikawal. Jika mahu menjadi stereotaip, dengan itu hanya perlu menulis semuanya dalam sekeping kertas untuk mereka ikuti, ulangi apa yang kita mahu mereka katakan. Tetapi ini sebuah negara merdeka dan semua orang berhak menyuarakan apa yang mereka mahu katakan. Sama ada apa yang mereka katakan itu betul atau tidak, biar rakyat menentukannya," katanya.

Ditanya sama ada banyak bahagian merancang untuk mengadakan EGM, Tengku Razaleigh berkata terdapat mereka yang telah bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat itu.

Bekas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberitahu Bernama bahawa mengadakan EGM pada masa ini hanya membazirkan masa kerana perhimpunan agung parti akan diadakan pada Disember.

"Tidak banyak masa yang ada untuk mengadakannya (EGM). Jika mereka mahu lakukan, misalnya, mencadangkan usul untuk memansuhkan sistem kuota, mereka perlukan separuh daripada jumlah bahagian untuk mengadakan EGM. Hanya selepas itu baru boleh mengadakan mesyuarat agung luar biasa.

"Tetapi mesyuarat peringkat cawangan akan bermula tidak lama lagi, pada Julai, jadi tidak ada cukup masa untuk mengadakannya, walaupun ia dibenarkan oleh perlembagaan," katanya.

Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir juga tidak bersetuju dengan gesaan Presiden Umno supaya bahagian parti tidak lagi mengadakan EGM kerana ia merupakan hak anggota parti.

"Saya ingat tidak sesuai untuk Presiden menyatakan EGM tidak diperlukan kerana ini hak ahli di peringkat bahagian untuk memutuskan sama ada EGM itu diperlukan atau tidak," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Mukhriz berkata, jika ada bahagian yang mahu terus mengadakan EGM, mereka tidak patut dihalang.

Katanya beliau berharap ketua-ketua cawangan Umno diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing melalui sesi soal jawab pada perjumpaan dengan presiden parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kalau mereka datang dari seluruh negara berjumpa dengan presiden tetapi jika tidak diberi peluang untuk bercakap, maka saya ingat itu tidak bermakna. Biarlah mereka menyampaikan maklumat dan isi hati mereka secara langsung kepada presiden," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels