Bernama.com
Am 28 April, 2008 16:45 PM
 
Ketua-Ketua Umno Bahagian Masih Annuar Terajui Umno Kelantan


RANTAU PANJANG, 28 April (Bernama) -- Beberapa pemimpin Umno Kelantan berpendapat mereka tidak nampak pengganti yang layak untuk mengambil alih jawatan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri daripada Datuk Seri Annuar Musa.

Mereka berkata Ketua Umno Bahagian Ketereh itu perlu dikekalkan berikutan kredibiliti kepimpinan dan kebolehannya menerajui Kelantan sejak beberapa tahun lepas.

Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Datuk Mohd Zain Ismail menegaskan tiada sebab tempat Annuar itu perlu ditukar.

"Kalau mahu kaitkan dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas, adalah tidak betul, kerana semua pihak perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan itu," katanya kepada Bernama hari ini sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Machang Datuk Sazmi Miah semalam yang meminta Annuar mengundur diri.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Ilias Hussin berkata isu penting yang perlu ditangani oleh pemimpin Umno Kelantan sekarang ialah mengembalikan maruah Umno.

Tambahan pula pelantikan jawatan pengerusi Badan Perhubungan Umno adalah tanggungjawab Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, katanya.

Sementara itu Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata sebagai ketua bahagian, mungkin ada yang tidak setuju dan ada yang setuju dengan kedudukan Annuar, tetapi keputusan terletak di tangan Abdullah sebagai presiden parti.

"Kalau perlu undur, semua peringkat hendaklah berbuat demikian termasuk ketua Wanita dan ketua Pemuda, kerana semua bertanggungjawab," katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang Afandi Yusof mengiyakan pendapat itu dengan berkata:"Sekiranya Perdana Menteri rasa Annuar diperlukan, dia boleh teruskan dan sekiranya Annuar perlu ditukar kepada orang lain maka pucuk pimpinan boleh berbuat demikian," katanya.

Beliau bagaimanapun menolak dakwaan yang mengatakan Umno Kelantan tiada pelapis bagi memimpin Umno selepas Annuar kerana masih ramai pemimpin yang berbolehan.

"Kita ada (bekas timbalan menteri kewangan) Datuk Awang Adek Hussein, (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) Datuk Mustapa Mohamed atau tokoh muda Datuk Alwi Che Ahmad -- anggota Dewan Undangan Negeri Kok Lanas kalau hendak digantikan," katanya

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels