| PDRM Buka Lima Pusat Latihan Baru Tahun Depan |
|
KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Lima pusat latihan polis akan dibuka di empat buah negeri tahun depan bagi menambah bilangan pelatih selaras dengan pelan strategik lima tahun pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata lima pusat latihan baru itu perlu bagi menampung keperluan 60,000 anggota baru di bawah pelan PDRM yang bermula tahun lepas.
Pusat baru tersebut ialah di Bentong, Pahang, Tupah dekat Bedong (Kedah), Pulau Langkawi (Kedah), Besut (Terengganu) dan Bukit Beruntung, Selangor.
"Setiap tahun lima pusat itu mempunyai keupayaan melatih 14,000 pelatih berpangkat konstable dan inspektor," katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan tamat latihan dan konvokesyen bagi inspektor kadet di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.
Musa, bagaimanapun, enggan mendedahkan kos pembinaan lima pusat itu tetapi berkata kerja-kerja pembinaan pusat berkenaan dijangka siap akhir tahun ini.
Buat masa ini, PDRM mempunyai empat pusat latihan iaitu Kuala Lumpur, Kuala Kubu Baru, Muar dan Kuching.
PDRM kini mempunyai keanggotaan seramai 92,000.
Musa menjelas PDRM akan memperkenalkan pendekatan baru latihan mulai pengambilan baru Jun ini.
Katanya di bawah sistem latihan baru, setiap pelatih akan mengikuti latihan intensif selama setahun di mana mereka akan menjalani latihan asas selama enam bulan di pusat latihan.
Selepas latihan asas, pelatih akan menjalankan latihan amali di balai polis selama lima bulan sebelum kembali semula ke pusat latihan selama sebulan bagi ujian kemampuan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anggota polis, katanya.
Katanya pesara polis yang diambil kerja semula secara kontrak akan ditugaskan untuk memantau dan memerhatikan prestasi pelatih-pelatih baru ini.
-- BERNAMA
|
|
|