Bernama.com
Am 09 April, 2008 18:58 PM
 
Ahmad Said Umum Portfolio Exco Terengganu


KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Said hari ini mengumumkan senarai portfolio anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baru yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari Rabu.

Kesemua 10 anggota Exco itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah di sini pagi ini.

Ahmad sendiri mempengerusikan empat portfolio iaitu Jawatankuasa Perancangan Negeri; Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan Negeri; Jawatankuasa Tanah, Petroleum dan Hasil Bumi Negeri dan juga Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri yang dipegangnya pada penggal lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma Darul Iman di sini petang ini, Ahmad berkata beliau juga melantik Ramlan Ali (anggota Dewan Undangan Negeri Jabi) dan Rosli Othman (Kemasik) sebagai timbalan pengerusi bagi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri. Berikut ialah senarai portfolio bagi 10 anggota Exco dan timbalan pengerusi bagi portfolio berkenaan:-

1. Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia

Pengerusi - Ahmad Razif Abdul Rahman (Adun Seberang Takir)

Timbalan Pengerusi - Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang)

2. Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam

Pengerusi- Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan):

Timbalan Pengerusi - Zakaria @ Mohd Ariffin Abdullah (Paka)

3. Jawatankuasa Belia dan Sukan

Pengerusi - Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu)

Timbalan Pengerusi - Alias Abdullah (Alor Limbat)

4. Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi

Pengerusi - Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai)

Timbalan Pengerusi - Datuk Rosol Wahid (Ajil)

5. Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita

Pengerusi - Ashaari Idris (Langkap)

Timbalan Pengerusi - Nawi Mohamad (Hulu Besut)

6. Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar

Pengerusi - Toh Chin Yaw (Bandar)

Timbalan Pengerusi - Abdul Halim Jusoh (Permaisuri)

7. Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan

Pengerusi - Datuk Zaabar Mohd Adib (Rantau Abang)

Timbalan Pengerusi - Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih)

8. Jawatankuasa Agama dan Penerangan

Pengerusi - Khazan Che Mat (Batu Rakit)

Timbalan Pengerusi - Muhammad Ramli Nuh (Tepuh)

9. Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani

Pengerusi- Rozi Mamat (Telemong)

Timbalan Pengerusi - Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera)

10.Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna

Pengerusi- Dr Abdul Rahman Mokhtar (Kuala Besut)

Timbalan Pengerusi Datuk Din Adam (Bukit Besi)

Ketika ditanya harapan beliau terhadap barisan Exco baru itu, Ahmad berkata beliau berharap mereka akan bekerja sebagai satu pasukan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya beliau telah mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung senarai barisan Exco baru itu.

Selain meneruskan agenda dengan menyediakan peluang pendidikan yang terbaik kepada rakyat, Ahmad berkata tumpuan kerajaan negeri adalah untuk membasmi masalah kemiskinan serta menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata kesemua Exco yang dilantik itu juga, telah diminta untuk melepaskan jawatan jika menjadi pengerusi mana-mana anak syarikat kerajaan negeri supaya mereka dapat menumpukan tanggungjawab terhadap tugas hakiki masing-masing.

Menteri Besar berkata beliau dan kesemua anggota Exco akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Isnin ini.

Dalam pada itu, katanya sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan dari 5 hingga 8 Mei.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels