| Gejala Rasuah Di Kalangan Anggota Polis Menurun |
|
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Gejala rasuah dan salah guna kuasa di kalangan anggota polis menurun sebanyak 0.1 peratus sejak kempen pemakaian lencana 'Saya Anti Rasuah' dijalankan pada 2005.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata ini menunjukkan keberkesanan kempen yang telah dilancarkan itu bagi memerangi rasuah di kalangan anggotanya.
"Kita masih teruskan kempen tersebut bagi memerangi gejala rasuah habis-habisan dengan pemakaian lencana baru iaitu 'Integriti Amalan Kita," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian program polis bersama masyarakat di perkarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini.
Musa berkata pemakaian lencana baru itu dapat membina kerohanian dan sahsiah diri anggotanya di samping membangunkan modal insan yang dapat melatih anggota supaya tidak terjebak dengan rasuah dan salah guna kuasa.
"Walaupun bermacam-macam program telah dilancarkan, sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada mengalami perubahan. Saya tidak nafikan masih ada pegawai dan anggota yang terlibat dengan gejala tidak baik ini. Tak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada undang-undang," katanya. Musa berkata pihaknya akan meneruskan usaha untuk mendidik anggota dan supaya ia dapat dihayati oleh semua pegawai polis.
Katanya setiap anggota bawahan akan dipantau oleh pegawai atasan supaya tindakan tegas dapat diambil bagi membanteras gejala tidak sihat ini.
"Sesiapa yang ingkar, tindakan tegas akan dikenakan," tegasnya.
Berucap ketika melancarkan program itu, Musa berkata ia bertujuan memperhebatkan lagi dasar kemasyarakatan yang dilancarkan di seluruh negara sempena sambutan Hari Polis ke-201 bagi menonjolkan tahap profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mata masyarakat.
"Ini merupakan salah satu inisiatif yang digunakan dalam Pelan Strategik Lima Tahun PDRM bagi meningkatkan kerjasama dengan masyarakat," katanya. Musa berkata lencana 'Integriti Amalan Kita' dipakai bertujuan menunjukkan kesungguhan PDRM dalam usaha meningkatkan integriti pasukan dan bertekad untuk memperbetulkan persepsi negatif masyarakat.
Beliau berharap dengan usaha ikhlas PDRM dapat mengembalikan keyakinan masyarakat di samping memperkuatkan persefahaman dan kerjasama bagi mendekatkan polis dengan orang awam.
"Kedua-dua pihak amat memerlukan kerana masyarakat mempunyai lebih maklumat. Penekanan budaya tanggungjawab dan kerjasama antara polis dengan orang awam bukan bersifat sementara tetapi berterusan bagi memerangi jenayah.
"Diharap dasar kemasyarakatan mampu dibudayakan dalam kehidupan masyarakat," katanya.
Beliau berkata sebanyak 55 buah lagi pusat komuniti dan pondok-pondok polis akan dibuka pada 14 April depan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti bagi menangani jenayah di samping mendekatkan diri dengan masyarakat.
-- BERNAMA
|
|
|