Bernama.com
Am 25 Mac, 2008 14:29 PM
 
'Tegas, Adil Dan Berhemah' Tema Baru PDRM


KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meminta seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghayati serta mendalami maksud tema baru pasukan itu yang diperkenalkan, Selasa iaitu 'Tegas, Adil dan Berhemah', serta pemakaian lencana 'Integriti Amalan Kita' yang diharapkan dapat meningkatkan prestasi dan kewibawaan pasukan itu.

Katanya sejajar dengan sambutan ke-201 tahun Hari Polis hari ini, PDRM perlu komited dalam menjalankan tugas, terutama dalam menangkis pandangan negatif masyarakat bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pasukan.

"Menjadi harapan kita agar tema ini akan mengubah pemikiran anggota supaya lebih bertanggungjawab dan beramanah dalam menjalankan tugas," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan sempena Peringatan Hari Polis di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini.

Tema baru itu ditampilkan bagi menggantikan tema 'Mesra, Cepat dan Betul' yang diperkenalkan pada 1999, manakala lencana 'Integriti Amalan Kita' bagi menggantikan pemakaian lencana 'Saya Anti Rasuah'.

Pelancaran tema dan lencana itu dilakukan di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang hadir pada perhimpunan tersebut.

Sementara itu dalam perutusan Musa yang dibacakan di seluruh kontingen PDRM seluruh negara sempena Hari Polis hari ini, Ketua Polis Negara memberikan penjelasan maksud tema baru itu.

Katanya Tegas, membawa maksud polis hendaklah menjalankan tugas dengan lebih tegas dan efisyen dengan tidak semestinya menggunakan kekerasan, sebaliknya teguh dan komited dalam menjalankan tugas.

"Dalam erti kata lain tegas bermaksud sebagai pengaman dan penjaga keselamatan yang menguatkuasa kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan persekutuan," katanya.

Menurutnya Adil pula menuntut pelaksanaan tugas polis yang adil kepada semua pihak dan ia merupakan tonggak etika serta integriti dan kunci kepada semua niat, buah fikiran, perilaku serta tindakan.

"Sikap tegas dan adil yang difahami benar dan diamalkan, akan menghasilkan peribadi dan susunan struktur institusi pasukan polis yang beradab serta dipercayai," katanya.

Musa berkata berhemah pula membolehkan persepsi masyarakat dihargai dan diperakui sebagai tanda ukuran kecekapan serta keberkesanan anggota polis dalam membuat tindakan dan keputusan.

Mengenai pemakaian lencana "Integriti Amalan Kita" pula, Musa berkata sudah tiba masanya rasuah yang menjadi musuh nombor satu pasukan diperangi secara batiniah iaitu dikikis dari hati atau diri anggota polis sendiri.

Katanya integriti membawa maksud sangat luas iaitu merangkumi ciri-ciri tanggungjawab, jujur, amanah dan setia, satu amalan harian oleh warga PDRM.

"Anggota polis yang berintegriti akan lebih mengutamakan tanggungjawabnya kepada rakyat dan negara daripada kepentingan diri," katanya dan menambah bahawa anggota polis yang berintegriti juga akan menghormati kerjayanya dan mengotakan ikrar yang dilafazkannya.

Sementara itu Ibu pejabat kontinjen negeri-negeri turut mengadakan perhimpunan khas sempena hari polis hari ini, dan menyampaikan surat penghargaan kepada anggota dan orang ramai terhadap pelbagai sumbangan mereka kepada PDRM.

Di Kelantan, Timbalan Ketua Polis Negeri SAC II Amir Hamzah Ibrahim meminta masyarakat sentiasa membantu pasukan polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dan masalah sosial' khususnya yang melibatkan golongan remaja.

"Berilah tumpuan kepada anak-anak dengan mengambil tahu aktiviti harian mereka agar tidak terdedah dengan gejala sosial," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perbarisan Hari Polis Peringkat Kontinjen, hari ini.

Pada majlis itu 47 pegawai dan anggota polis menerima surat penghargaan yang disampaikan oleh beliau.

Di Johor Baharu pula, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah menerima tabik hormat perbarisan kawalan kehormat pada sambutan yang berlangsung di Dataran Bandaraya pagi ini.

Seramai 61 anggota polis dan tujuh orang awam menerima surat perhargaan atas pelbagai sumbangan mereka kepada PDRM, dan Balai Polis Ulu Choh dekat Pontian pula menerima anugerah balai polis contoh di peringkat kontinjen Johor.

Bercakap kepada pemberita selepas sambutan itu, Tun Hisan berkata kerjasama antara anggota polis dengan masyarakat awam amat diharapkan bagi membantu menurunkan kadar jenayah.

Di Alor Star, Kedah, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusof berkata slogan baru polis iaitu Tegas, Adil dan Berhemah lebih releven bagi menggantikan slogan Mesra, Cepat dan Betul yang digunakan sejak 1999.

Ditanya mengenai kerjasama polis dengan kerajaan baru Kedah, beliau yang ditemui selepas menghadiri sambutan perhimpunan Hari Polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah di sini berkata, polis akan bekerjasama menjaga keselamatan tanpa mengira parti yang memerintah.



Di Kulim, Kedah, 92 orang, termasuk pegawai, anggota Simpanan PDRM, PERKEP, kakitangan awam, orang awam, wartawan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan daerah menerima Sijil Penghargaan sempena sambutan itu.

Sijil-sijil disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh pada majlis khas yang diadakan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Di Seremban Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC II Abd Manan Mohd Hassan menyampaikan 35 surat penghargaan kepada anggota dan orang ramai terhadap sumbangan mereka kepada PDRM, sempena sambutan Hari Polis.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels