Bernama.com
Rencana 24 Mac, 2008 16:09 PM
 
Jururawat Perlu Lanjut Pelajaran Ke Tahap Lebih Tinggi


Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Daripada 75,000 orang jururawat di negara ini, hanya tiga peratus sahaja yang memiliki ijazah kejururawatan, kata Rohani Arshad, Profesor Madya Kejururawatan yang pertama di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Sains Kejururawatan, Universiti Malaya (UM) menyifatkan faktor penghalang utama adalah kerana timbulnya sikap "buat apa nak buat kursus ijazah" di kalangan jururawat.

Sebaliknya, Rohani menegaskan dengan memiliki ijazah, mereka boleh melaksanakan tugas dengan penuh keyakinan dan mengembangkan lagi keupayaan mereka.

"Ini baik untuk para pelanggan, iaitu pesakit, keluarga mereka, serta pekerja penjagaan kesihatan yang lain," jelas Rohani, merujuk kepada mereka yang bekerja dalam industri kejururawatan.

Beliau percaya dengan memiliki ijazah, pengalaman yang diraih itu akan dapat membantu jururawat dalam aspek-aspek utama seperti berfikir secara kritikal, membuat keputusan dan pembaikan secara kognitif.

JURURAWAT PAKAR

Ketika ini, negara tidak mempunyai ramai jururawat pakar, kata Rohani.

"Kita masih mempunyai kekurangan kronik dari segi jumlah jururawat yang diperlukan. Bila sahaja jururawat-jururawat muda keluar dari kolej latihan dengan diploma, mereka terus ditugaskan di wad-wad hospital. Hanya segelintir sahaja yang mahu meneruskan pengajian kejururawatan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Rohani berkata mereka (yang segelintir) ini sanggup mengorbankan kehidupan keluarga dan wang untuk mengejar pelajaran yang lebih tinggi. Ada di antara mereka yang mengambil cuti tanpa gaji serta menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mengikuti kursus ijazah," kata beliau.

Kenapa?.

Menurut Rohani, mereka melihat perlunya ada ijazah kejururawatan yang boleh membantu mereka pergi jauh dalam industri ini.

BUDAYA

Ketika ini, jururawat di hospital mempunyai beban kerja yang tinggi dan mereka tidak ada banyak masa untuk latihan bagi pembangunan kerjaya, kata beliau.

"Tetapi pengajian kejururawatan bukan berhenti di situ, kerana mereka masih boleh membaca jurnal-jurnal. Jurnal-jurnal ini mudah didapati, jururawat juga boleh dapat sumber lain melalui internet," kata Rohani.

Menurut beliau, perlu adanya satu 'budaya' di mana ketua jururawat sebuah wad atau unit adalah seorang yang mempunyai ijazah kejururawatan.

"Tetapi, budaya seperti ini masih belum boleh dicapai ketika ini," kata beliau.

Kata Rohani, UM telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program ijazah untuk jururawat pakar.

Ketika ini juga, belum ada graduan peringkat sarjana kejururawatan yang dilahirkan melalui kursus di negara ini. Hanya ada lima jururawat yang sedang mengikuti kursus sarjana kejururawatan di UM pada masa ini," kata beliau lagi.

PENGHARGAAN KEMENTERIAN KESIHATAN

Rohani juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Jururawat Seri Zamrud 2008, anugerah yang merupakan penghargaan Kementerian kesihatan terhadapn sumbangan para jururawat di negara ini.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai jururawat pada tahun 1969 dan kemudian mengkhusus dalam bidang kejururawatan pediatrik di Sydney, Australia.

Rohani mempunyai Ijazah Sarjana Kejururawatan dan Pendidikan, University Edinburgh, United Kingdom pada tahun 1993. Ketika ini, beliau adalah calon PhD dalam Pendidikan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

PENGALAMAN

Sebelum dinobatkan anugerah berkenaan, Rohani sememangnya telah melakar sejarah hidup yang agak menarik sebagai seorang jururawat selama 35 tahun.

Beliau pernah bertugas sebagai jururawat, ketua jururawat dan pegawai kejururawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Universiti, sebuah hospital pengajar yang ulung di negara ini.

Beliau bertukar ke bidang pendidikan kejururawatan dari pentadbiran kejururawatan pada tahun 1995.

Rohani juga dilantik sebagai perunding untuk program kejururawatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Universiti Sedaya, Universiti Sarawak (Unimas) dan OUM.

Rohani adalah juga pemeriksa luar untuk Sekolah Jururawat UM, Kolej Kejururawatan Puteri, Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill selain daripada penasihat akademik untuk Akademi Sains Kesihatan Bersekutu Malaysia (MAHSA).

Beliau masih menjalankan usaha supaya bidang kejururawatan di Malaysia mencapai tahap penghormatan antarabangsa yang lebih tinggi.

JAWATANKUASA PETUGAS

Rohani menyeru agar kerajaan dapat menubuhkan satu jawatan petugas di peringkat kebangsaan untuk reformasi dalam industri kejururawatan.

"Jawatankuasa ini perlu melihat apakah masalah sebenarnya dalam pendidikan kejururawatan dan apakah situasi sebenar dalam industri kejururawatan di Malaysia," kata beliau.

Ia juga perlu menjalankan satu kajian dan merancang satu formula untuk membangunkan lagi industri kejururawatan di negara ini dan meletakkan bidang kejururawatan dalam perspektif yang betul, tambah beliau.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels