Bernama.com
Am 19 Mac, 2008 19:25 PM
 
Exco Perlis Dibarisi Muka Baru



MUKA BARU… Menteri Besar Datuk Md Isa Sabu (empat dari kanan) bersama kesemua tujuh anggota exco kerajaan negeri berganding tangan selepas beliau menghadiri majlis mengangkat sumpah anggota-anggota exconya di Istana Arau. Barisan exco itu terdiri daripada (dari kiri), Ahmad Bakri Ali (Pelancongan dan Kesihatan), Yip Sun Onn (Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Bandar Baharu), Sabry Ahmad (Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail (Pelaburan, Perdagangan dan Industri), Mat Rawi Kassim (Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Penguatkuasaan), Abdul Jamil Saad (Belia, Sukan, Kebudayaan, Kesenian, Sumber Manusia dan Perpaduan) dan Jefperi Othman (Agama Islam dan Pembangunan Hadhari). Foto: Effendey Harun

KANGAR, 19 Mac (Bernama) -- Kesemua tujuh anggota exco kerajaan negeri Perlis yang dilantik oleh Menteri Besar Datuk Dr Md Isa Sabu terdiri daripada muka baru.

Mereka terdiri Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail (anggota dewan undangan negeri kawasan Pauh), Sabri Ahmad (Santan), Ahmad Bakri Ali (Kayang), Abdul Jamil Saad (Sena), Mat Rawi Kassim (Beseri), Jafperi Othman (Guar Sanji) dan Yip Sun Onn (Titi Tinggi).

Mereka mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau hari ini, dengan disaksikan juga oleh Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Md Isa.

Kesemua anggota dewan negeri Perlis hadir ke majlis itu kecuali bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga anggota dewan undangan negeri kawasan Tambun Tulang.

Shahidan tidak menghadiri majlis mengangkat sumpah Md Isa sebagai Menteri Besar pada Isnin lalu.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Md Isa berkata, beliau akan mempengeruskan portfolio pentadbiran, kewangan, perancangan, keselamatan dan pembangunan luar bandar.

Syed Razlan mempengerusikan portfolio pelaburan, perdagangan dan industri, Sabry (Pertanian dan Industri Asas Tani), Ahmad Bakri (Pelancongan dan Kesihatan), Abdul Jamil (Belia, Sukan, Kebudayaan, Kesenian, Sumber Manusia dan Perpaduan), Mat Rawi (Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Penguatkuasaan), Jafperi (Agama Islam dan Pembangunan Hadhari) dan Yip (Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bandar Baru).

Md Isa berkata beliau telah mengundang Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Empat, Rus'seli Eizan, satu-satunya anggota dewan yang mewakili PAS untuk menyertai portfolio tertentu sebagai anggota jawatankuasa.

Rus'seli berkata beliau sedia untuk memberi pandangan kepada kerajaan melalui portfolio yang ditawarkan kepadanya kelak untuk kepentingan negeri dan rakyat.

-- BERNAMA
Copyright © 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels