Bernama.com
Am 19 Mac, 2008 18:29 PM
 
P. Pinang Beri Bonus RM879,000 Untuk Guru KAFA


PULAU PINANG, 19 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM879,000 untuk bayaran bonus kepada 1,465 guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) termasuk 11 orang penyelia.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin bagaimanapun berkata kaedah pembayarannya masih belum ditetapkan.

"Bantuan tambahan ini bagi memudahkan tugas guru KAFA dan sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam memberi pendidikkan kepada anak-anak kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri yang pertama selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Kini guru KAFA di Pulau Pinang menerima elaun RM500 sebulan.

Mohammad Fairus berkata pembayaran bonus itu akan dibuat mulai 1 April.

Selain itu beliau berkata kerajaan negeri akan memastikan proses peralihan kuasa bagi mentadbir Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas dari kerajaan lama kepada kerajaan baru, berlangsung dengan lancar.

"Ini adalah untuk memastikan kepentingan penduduk setempat tidak tergugat dan kebajikan anak-anak mereka untuk mendapat pendidikan awal dapat diteruskan," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels