Bernama.com
Ekonomi 18 Mac, 2008 15:56 PM
 
IOI Beli Kepentingan Dalam Syarikat Perladangan Kelapa Sawit Sarawak


KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- IOI Corporation Bhd hari ini mengumumkan ia telah menandatangani perjanjian untuk membeli keseluruhan kepentingan dalam beberapa buah syarikat perladangan di Sarawak berjumlah kira-kira RM439.8 juta.

Dalam satu kenyataan, IOI berkata ia telah menandatangani perjanjian dengan Double Dynasty Sdn Bhd dan anak syarikatnya dan juga dengan Nirwana Muhibbah Sdn Bhd semalam di mana kepentingan tanah perladangan yang dimiliki oleh syarikat yang diambil alih bersamaan kira-kira 65 peratus.

Baki pemilikan saham itu dimiliki oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita) Sarawak dan penduduk pribumi tempatan (di mana syarikat yang diambil alih memiliki tanah adat), katanya.

"Cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan IOI untuk terus mengembangkan perniagaan teras minyak sawitnya dan mengambil kesempatan dari prospek cerah bagi industri minyak sawit," kata kumpulan itu.

"Sebaik selesai cadangan pengambilalihan itu, kumpulan itu akan menokok lagi 44,350 hektar tanah perladangan, yang sekaligus meningkatkan pegangan tanah perladangan kumpulan itu kepada 213,800 hektar di dalam Malaysia, dan kepada keseluruhannya 365,800 hektar, yang termasuk milik kumpulan itu dari usahasama di Indonesia," katanya.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka diselesaikan dalam suku tahun kedua tahun ini," kata IOI.

Daripada 44,350 hektar tanah itu, 13,500 hektar telah ditanam dan daripada jumlah itu, 4,500 hektar telah matang, kata kumpulan itu.

Menurut IOI, langkah pengambilalihan itu akan memberikan manfaat sinergi kepada operasi perladangan kumpulan itu di Sarawak, di mana ia kini telah mempunyai tanah seluas 9,000 hektar.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels