| Kerajaan Pulau Pinang Tidak Laksana Dasar Yang Merugikan Penduduk |
|
PULAU PINANG, 15 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai DAP tidak akan melaksanakan sebarang dasar atau langkah yang merugikan penduduk negeri ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Sambil mengatakan bahawa tiada pihak yang akan dipinggir atau dianaktirikan, Lim mendakwa kerajaan pimpinannya akan berkongsi sumber kekayaan negeri bersama-sama seluruh penduduk Pulau Pinang.
"Yang penting kita perlu melangkah ke hadapan supaya kita boleh melangkah ke era baru di mana ada ketelusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Artistik di sini hari ini.
Ditanya mengenai isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), Lim berkata: "DEB tidak ada isu langsung. Sekarang kita hanya nak buat tender terbuka. Kalau ini pun dianggap sebagai isu, apa yang boleh saya buat.
"Kalau ada yang rugi pun satu syarikat sahaja dan syarikat ini bukan syarikat Melayu," katanya tanpa menjelas lanjut mengenai syarikat yang dimaksudkan itu.
Mengenai cadangan Umno Pulau Pinang supaya semua projek yang dirancang kerajaan Persekutuan untuk negeri itu dibatalkan, Lim berkata para pemimpin Umno negeri itu harus menghormati keputusan rakyat dan membiarkan kerajaan pimpinannya mengurus tadbir negeri dan amanah yang diberikan oleh rakyat.
-- BERNAMA
|
|
|