Bernama.com
Rencana 12 Mac, 2008 11:45 AM
 
Kebersihan Rumah Elak Pembiakan Nyamuk Aedes


Oleh Nurulatiq Ahmad Bandi

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk membersihkan kawasan di dalam dan persekitaran rumah dan amalan ini diyakini dapat membantu memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes.

Jika usaha itu dilakukan, sudah tentu tempat pembiakan jentik dapat dihapuskan kerana orang ramai adalah penentu kepada penyelesaian masalah denggi, demikian menurut Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Vektor) Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Azmi Hashim kepada Bernama baru-baru ini.

Gesaan itu diluahkan oleh Dr Azmi berikutan pemantauan oleh Kementerian Kesihatan mendapati peningkatan jangkitan demam denggi yang seiring dengan pertambahan kawasan bandar dan pembangunan hingga menimbulkan rasa kebimbangan negara-negara tropika yang dilanda arus kemajuan, khususnya Malaysia.

Tanpa penglibatan masyarakat, demam denggi tidak boleh dikawal dan ia boleh membantutkan usaha kerajaan untuk membasmi masalah pembiakan nyamuk aedes.

Menyembur asap ubat nyamuk belum lagi menjamin 100 peratus dapat membunuh nyamuk Aedes dan jentik-jentik.

Cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan denggi di rumah dan kawasan sekeliling ialah dengan membersihkan tempat-tempat yang boleh menjadi sarang pembiakan nyamuk, katanya.

Demam Denggi mula dilaporkan di Malaysia pada tahun 1902. Manakala wabak pertama demam denggi dikesan di Georgetown, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

KES AKAN TERUS MELONJAK

Walaupun rumah dihias cantik dan rapi tetapi jika isi rumah mengabaikan aspek kebersihan dan membiarkannya sebagai tempat memelihara nyamuk Aedes, mereka bakal berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk dijangkiti demam denggi.

Rumah kediaman termasuk apartmen, banglo dan premis perniagaan mewakili 80 peratus kawasan berisiko tinggi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes di negara ini pada tahun lepas.

"Semenjak penyakit ini dikesan, rumah kediaman dan premis perniagaan didapati menyumbang kepada peratusan yang tinggi setiap tahun sebagai tempat yang aktif pembiakan nyamuk Aedes," tambah Dr Azmi.

Lebih membimbangkan, kenaikan jumlah kes yang dilaporkan akan terus melonjak sekiranya rakyat Malaysia tidak peka terhadap masalah pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah mereka, katanya lagi.

Tetapi malangnya, orang ramai masih tidak menghiraukan ancaman ini meskipun sektor awam, yang diterajui oleh kerajaan pusat dan pihak berkuasa negeri, telah melaburkan banyak wang ringgit dan mencurahkan masa dan tenaga untuk memerangi denggi.

"MEMELIHARA" JENTIK-JENTIK

Pengarah Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr Zainol Ariffin Pawanchee pula berkata, "statistik pada tahun lepas menunjukkan sebanyak 7,129 kes denggi dilaporkan di Kuala Lumpur dan 2,109 adalah positif denggi dengan 23 kematian berbanding tahun sebelumnya 7,341".

Manakala kutipan kompaun bernilai RM159,020 dicatat pada tahun lepas di Kuala Lumpur. Hanya 621 daripada 1,379 orang dikenakan kompaun membayarnya.

Walaupun jangkitan denggi di Malaysia masih terkawal namun ia menjadi matlamat agar ia dapat diturunkan, katanya.

Nyamuk-nyamuk yang membiak di rumah bukan sahaja membahayakan isi rumah malah jiran tetangga dan orang ramai, berikutan serangga itu mampu terbang sejauh 200 meter radius dari tempat pembiakannya.

Dr Azmi pula berpendapat, nyamuk Aedes membiak secara aktif di dalam dan persekitaran luar rumah.

Kebiasaannya, bahagian dalam rumah nyamuk Aedes dapat membiak di piring alas pasu bunga, tadahan air seperti kolah mandi, tempayan atau baldi dan perangkap semut manakala di persekitaran luar rumah seperti dalam tayar buruk, saluran air hujan, tin-tin kosong, lubang pokok, tunggul buluh, ketiak daun pandan dan nanas.

Sehingga kini masih tiada sebarang vaksin yang mampu untuk merawat demam denggi, katanya lagi.

BUKANKAH NYAMUK SEHARUSNYA DIBASMI

Dr Zainol berkata dalam masa kurang seminggu, berjuta-juta ekor nyamuk akan membiak. Purata seekor nyamuk mampu untuk bertelur sebanyak 600 hingga 1,000 biji telur sepanjang hayatnya. Ini kerana seekor nyamuk betina boleh bertelur sebanyak 10 kali seumur hidupnya.

"Semua orang mestilah memainkan peranan dengan baik untuk memerangi dan membasmi pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Semakin ramai orang lalai tentang perkara ini semakin ramai yang berisiko dijangkiti denggi.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels