Bernama.com
Am 05 Mac, 2008 21:33 PM
 
Mekanisme Dan Syarat Pembelian Rumah PPR Diwujudkan


KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan telah mewujudkan mekanisme dan syarat bagi pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi Dasar Perumahan Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diluluskan oleh kabinet 8 Mac lepas, sebelum Parlimen dibubarkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique hari ini.

"Dengan adanya mekanisme penjualan rumah PPR ini, kita berharap proses pendaftaran dapat dimulakan mulai bulan ini juga dan syarat-syarat kelulusan akan diputuskan oleh DBKL dengan keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah dan yang kurang berkemampuan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Air Panas Setapak, hari ini.

Beliau berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur selaku pengerusi akan turun padang bersama pegawai DBKL sebagai Sekretariat, bagi memberi penerangan kepada penghuni PPR dalam tempoh masa terdekat.

"Kini, dengan adanya dasar itu, saya yakin kita dapat menyelaraskan satu sistem perumahan yang efisien dan efektif di Kuala Lumpur termasuk mencapai sasaran setinggan sifar menjelang akhir tahun ini," katanya.

Zulhasnan juga mengumumkan keputusan kabinet yang telah meluluskan kaedah Pembangunan Semula PPR Bandar yang dibangunkan sejak tahun 1958 yang mengandungi 23,638 unit (satu dan dua bilik tidur).

Ini termasuk 10,224 unit (87 blok) melalui Skim Pembangunan Bandar yang membabitkan rumah yang dibina sebelum tahun 1983, manakala 14,503 unit (86 blok) melalui Skim Penambahan Bilik yang dibina selepas 1984.

Beliau berkata, 93 Blok yang mengandungi 27,102 unit telah siap manakala 21 Blok yang mengandungi 5,660 akan siap April ini.

Zulhasnan berkata pembangunan PPR Kos Rendah dan Sederhana yang baru akan turut melibatkan kawasan parlimen Seputeh, Segambut, Cheras, Bukit Bintang, Wangsa Maju, Titiwangsa dan Kepong.

Setakat ini katanya, DBKL telah memindahkan 15,268 keluarga setinggan ke PPR manakala baki 9,181 keluarga lagi akan dipindahkan secara berperingkat-peringkat selepas April ini.

Pada Julai tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penjualan 15,007 unit rumah PPR yang berharga RM35,000 seunit menerusi Program MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara).

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati penghuni PPR menyambut baik pengumuman itu dan menghargai keputusan kerajaan yang memberi mereka peluang memiliki rumah sendiri.

Seorang pesara tentera, Ahmad Itam Mat Amin, 72, yang tinggal di PPR Bandar Baru Sentul, berkata beliau selama ini menanti-nantikan usaha kerajaan bagi memberi peluang kepada penduduk sepertinya mendapatkan rumah sendiri.

Ahmad yang menetap di kawasan tersebut lebih 20 tahun, membayar sewa RM124 sebulan.

Ismail Abdul Satar, 61, juga menghargai usaha murni kerajaan itu.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels