Bernama.com
Am 04 Februari, 2008 19:30 PM
 
Lebuhraya SKVE Dibina Tidak Lama Lagi


KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sepanjang 40km yang akan menghubungkan laluan dari Pulau Indah ke Kajang, akan dibina tidak lama lagi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan hari ini.

"Berapa jumlah kos pembinaan, itu kita tidak boleh umumkan lagi.

"Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang berbincang dengan pihak bank dan satu memorandum perjanjian bersama pihak bank akan ditandatangani dalam masa dua minggu lagi," katanya selepas merasmikan kilang baru Duromac (M) Sdn Bhd di Bandar Kinrara, Puchong di sini.

SKVE akan dibina dari Pulau Indah (Westport) menuju ke Pulau Carey dan dihubungkan ke Lebuhraya Elite seterusnya ke Putrajaya dan Kajang.

Dalam perkembangan lain, Samy Vellu berkata beliau tidak akan mengumumkan nama sebarang calon dalam pilihan raya akan datang dan menyerahkan keputusan kepada Pengerusi Barisan Nasional yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya tidak akan cakap pasal calon di mana-mana kerusi. Kerusi tidak penting tetapi rakyat lebih penting," katanya.

Beliau berkata sesiapa yang akan berkhidmat di mana-mana kerusi mestilah mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat terlebih dahulu daripada memikirkan tentang kuasa.

Mengulas mengenai khabar angin yang disebarkan menerusi internet mengenai ura-ura Perdana Menteri memintanya untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang, beliau berkata penyebar khabar angin itu ialah mereka yang sengaja mahu memusnahkan parti.

"Pak Lah kata jangan bertanding pada 2010... setiap hari mereka ini semakin gila menyebarkan khabar angin, sama ada menerusi internet atau SMS (khidmat pesanan ringkas)," katanya dalam nada jenaka.

Sebelum itu, Samy Vellu merasmikan premis baru kilang Duromac yang sudah beroperasi 12 tahun dan merupakan syarikat yang membekalkan peralatan serta jentera bagi membersihkan jalan raya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels