Bernama.com
Am 29 Januari, 2008 18:22 PM
 
Dr Mahathir Adalah Kawan Saya, Kata Vincent Tan


KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang sahabat beliau dan seorang yang banyak memberi nasihat kepadanya berhubung perniagaan.

Beliau memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja di sini hari ini bahawa Dr Mahathir adalah seorang yang hebat dan baik serta suka menolong.

Ketika ditanya oleh Datuk Azmi Ariffin, pegawai pengendali inkuiri oleh suruhanjaya itu, bagaimana beliau mengenali Dr Mahathir, Tan berkata ia bermula semasa beliau terlibat dalam perniagaan francais makanan segera McDonald's, satu bidang yang menarik minat Dr Mahathir.

"Saya menemui Dr Mahathir pada awal tahun 80an semasa saya terlibat dalam perniagaan francais. Dr Mahathir berminat dalam bidang itu. Dari situlah kami berkawan," katanya.

Ditanya sama ada beliau menganggap Dr Mahathir sebagai rakan keluarga yang rapat, Tan berkata Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri untuk satu tempoh yang lama, dan beliau tidak mahu menghebohkan bahawa beliau rapat dengan Dr Mahathir.

"Saya gembira apabila Dr Mahathir (dalam keterangannya dalam inkuiri ini sebelum ini) menganggap saya sebagai kawan baiknya," katanya.

Inkuiri itu diadakan antaranya bagi memastikan kesahihan satu klip video yang kononnya melibatkan seorang peguam cuba mengatur pelantikan hakim.

Tan juga berkata beliau pernah berjumpa dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada satu majlis rasmi, dan sebagai menghormatinya, telah menyapa beliau.

Bagaimanapun, katanya, pengenalan mereka tidak berkembang selepas itu.

Tan, yang juga Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, berkata beliau mengenali Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai seorang yang ramah dan mesra tetapi pengenalan mereka adalah sebagai rakan perniagaan.

"Saya diperkenalkan kepada beliau pada awal 80an atau 90an oleh anggota kerabat diraja Pahang. Selepas itu saya mengadakan perniagaan dengannya dan kami menjadi rakan niaga," katanya.

Tan berkata bahawa selepas lama mengenali Tengku Adnan, beliau menawarkan jawatan pengarah dan pengerusi dalam sebuah daripada syarikatnya kepada Tengku Adnan.

Dalam satu petikan perbualan dalam klip video berkenaan, nama Tan dan Tengku Adnan dikaitkan dengan pelantikan Ahmad Fairuz.

Tan menolak dakwaan Datuk V.K.Lingam kononnya beliau boleh mempengaruhi Dr Mahathir berhubung pelantikan hakim.

"Jika saya begitu berpengaruh, tentulah saya akan dapat banyak projek," katanya merujuk kepada andaian yang dibuat oleh Datuk V.K.Lingam, peguam yang dikatakan dirakam dalam klip video itu sedang berbual dengan seseorang menerusi telefon kononnya berhubung pelantikan hakim.

Beliau menafikan bahawa Lingam memintanya menemui Dr Mahathir atau Tengku Adnan supaya Ahmad Fairuz dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

"Bukan urusan saya untuk mempengaruhi Dr Mahathir berhubung pelantikan hakim," kata Tan.

Ketika dirujuk oleh Azmi satu bahagian transkrip klip video itu yang menyebut bahawa orang yang sedang bercakap itu berkata beliau akan memintanya mengingatkan Dr Mahathir supaya menganugerahkan gelaran "Tan Sri" kepada Ahmad Fairuz, Tan berkata : "Itu tidak benar. Bertuahnya kalau saya begitu berpengaruh."

Sambil menolak semua dakwaan dalam klip video itu, Tan berkata beliau bukannya bodoh untuk dipergunakan sebegitu.

-- BERNAMA


Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels