Bernama.com
Ekonomi 29 Januari, 2008 18:01 PM
 
Petronas Lancar Kad Kredit Dengan Kerjasama Maybank Dan CIMB


KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Petronas Dagangan Bhd (PDB) menjalin kerjasama dengan dua bank domestik utama, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan CIMB Bank Bhd, untuk melancarkan kad kredit jenama bersama - Petronas CIMB MasterCard dan Petronas Maybankard Visa.

"Sekarang ini, 25 peratus dari transaksi pada cabang peruncitan domestik syarikat minyak nasional itu adalah berasaskan kad," kata Pengerusi PDB Datuk Anuar Ahmad pada satu sidang akhbar selepas pelancaran kad itu di sini hari ini.

Beliau berkata tahun lepas transaksi menerusi kad kredit pihak ketiga tumbuh kira-kira 12-15 peratus dan trend ini dijangka berterusan di rangkaian lebih 870 stesen servis PDB di seluruh negara.

Kedua-dua kad kredit itu adalah percuma sepanjang hayat, tiada yuran tahunan, tiada yuran bersama dan tiada perbelanjaan minimum diperlukan.

Kad Petronas CIMB MasterCard adalah terdiri dari klasik, emas dan platinum, manakala Petronas Maybankard Visa terdiri dari kad emas dan platinum.

Naib Presiden/Ketua Kad & Pembayaran, Perbankan Pengguna Maybank, B. Ravintharan berkata bank itu menyasarkan untuk mengeluarkan 100,000 kad Petronas Maybankard Visa dalam tempoh 12 bulan.

"Kumpulan itu, yang memiliki asas kad berjumlah 1.5 juta, menyasarkan pertumbuhan 20-25 peratus tahun ini," katanya.

Ketua Perbankan Langsung dan Kad CIMB Bank Yap Yoke Yuen berkata bank itu menyasarkan untuk mempunyai 150,000 pemegang kad bagi Petronas CIMB MasterCard dalam tempoh tiga bulan pertama.

Berkenaan prospek, beliau berkata CIMB Bank, yang mempunyai asas kad berjumlah 850,000, menjangkakan pertumbuhan 30 peratus tahun ini.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels