Bernama.com
Am 29 Disember, 2007 22:06 PM
 
Kekalkan Tradisi Perkahwinan Etnik Untuk Perpaduan Kaum


KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Tradisi perkahwinan pelbagai etnik di negara ini perlu dikekalkan bagi menyemarakkan perpaduan kaum di samping menarik lebih ramai pelancong asing, kata seniman veteran dan tokoh perfileman Senator Tan Sri Jins Shamsudin.

Katanya, tradisi itu harus dikekalkan agar generasi muda menyedari bahawa Malaysia mempunyai tradisi hebat berbanding negara lain.

"Kita dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini kerana tradisi di sini adalah sesuatu yang baru kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat pameran program Semarak Seni Central Market `Adat Perkahwinan Masyarakat Etnik Malaysia' di sini hari ini.

Tujuh pasangan dari pelbagai etnik - Melayu, Cina, India, Orang Asli, Punjabi dan etnik dari Sabah dan Sarawak mempersembahkan adat istiadat perkahwinan masing-masing di majlis tersebut.

Program itu anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah seniman veteran Datuk Aziz Satar bersama isteri Datin Hashimah Delan.

Jins Shamsudin berkata majlis seumpama itu amat bermakna kepada generasi muda kerana mereka dapat memahami dan menghormati adat resam serta budaya etnik lain.

"Ini adalah satu usaha untuk merapatkan perhubungan di antara kaum kerana kita adalah negara unik dengan masyarakat berbilang kaum, agama, keturunan dan budaya," katanya yang mahukan program tersebut diadakan di peringkat nasional pada masa akan datang.

Sementara itu Pengarah Jabatan berkenaan, Noorsiah Sabri berkata pihaknya akan berusaha menonjolkan lebih banyak adat istiadat kaum lain pada masa akan datang untuk dihayati warga kota dan pelancong asing.

Seorang pelancong, Martin Jawad, 60, berkata program itu sangat menarik dan memberikan pengalaman baru kepadanya.

"Penuh warna warni dan menarik untuk ditonton," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels