Bernama.com
Am 24 Disember, 2007 15:40 PM
 
MIC Bantu Tukar Wajah Kaum India Negeri Sembilan


SEREMBAN, 24 Dis (Bernama) -- Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk T.Rajagopalu meminta kaum India di negeri itu supaya sedar mengenai sumbangan dan pengorbanan parti itu dalam "menukar wajah mereka daripada pekerja estet kepada anggota masyarakat moden di bandar".

"Dulu masyarakat India di negeri ini banyak duduk di estet semasa kita kaya dengan getah tetapi bila estet getah bertukar menjadi ladang kelapa sawit, ramai yang berhijrah ke bandar. MIClah yang bertanggungjawab membantu kaum India," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penguasaan ekonomi kaum India di bandar Seremban adalah pada tahap yang memuaskan.

"Bohonglah kalau ada orang kata MIC tidak pernah membantu kaum India. Bukan MIC sahaja, Barisan Nasional dan orang kaya India juga tidak melupakan nasib golongan miskin," kata Rajagopalu.

Melalui Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ada keluarga India yang mendapat bantuan sehingga RM6,000 manakala melalui Yayasan Keluarga Miskin pula, sebanyak 67 keluarga India yang menetap di kawasan Majlis Perbandaran Seremban menerima bantuan dan 65 lagi keluarga di bawah Majlis Perbandaran Nilai menerima bantuan serupa.

"MIC sendiri buka pusat perkhidmatan rakyat di tiap-tiap daerah, dan pada setiap Sabtu dari pukul 9 pagi sampai 2 petang, anda boleh lihat ramai orang India datang meminta bantuan. Macam mana orang boleh kata MIC tidak buat apa-apa," katanya.

Rajagopalu berkata MIC Negeri Sembilan juga memberi penekanan kepada bidang pendidikan, dan minggu lepas ia menghadiahkan komputer peribadi bernilai RM2,000 setiap satu kepada 75 pelajar kaum India yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

"Kita amat mementingkan pendidikan anak-anak kita kerana hanya pelajaran yang boleh mengeluarkan kaum India dari belenggu kemiskinan dan mengangkat martabat mereka," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak memperuntukkan tanah rizab untuk pembinaan kuil Hindu.

"Memang benar ada banyak kuil yang diroboh tetapi ia dipindahkan ke tanah-tanah rezab, malah di Seremban, kuil Hindu yang terbesar terletak di Jalan Berhala dan didirikan di atas tanah rizab," katanya.

--BERNAMA
Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels