Bernama.com
Am 24 Disember, 2007 15:08 PM
 
Seorang Lagi Tahanan ISA Mohon Dibebaskan


KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Peguam R. Kengadharan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mendapatkan pembebasan beliau daripada ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Writ habeas corpus itu difailkan oleh peguam Gobind Singh Deo di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi kira-kira 11 pagi.

Ia menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri sebagai responden pertama dan penguasa Kem Tahanan Taiping sebagai responden kedua.

Kengadharan, 40, dalam afidavit itu berkata asas bagi penahanannya adalah kabur dan tidak jelas memandangkan perintah tahanan tidak menyatakan dengan jelas sama ada beliau terbabit dalam rancangan untuk mendapatkan sokongan daripada Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

Beliau mendakwa tujuan polis mengaitkan beliau dengan LTTE adalah mala fide dan beliau menafikan sebarang pembabitan dengan pergerakan pengganas yang berpusat di Sri Lanka.

Kengadharan ditahan mengikut ISA bersama empat orang lagi pada 13 Disember kerana didakwa terbabit dalam menganjurkan perhimpunan haram pada 25 November dan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Empat yang lain -- peguam P. Utayakumar, 46, M. Manoharan, 46, V. Ganabatirau, 34, dan bekas pegawai bank K. Vasantha Kumar, 34, memfailkan permohonan yang sama minggu lepas.

Mahkamah akan mendengar permohonan mereka pada Rabu.

-- BERNAMA
Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels