Bernama.com
Am 23 Disember, 2007 18:34 PM
 
Dakwaan Pembangkang Terhadap MIC Hanya Untuk Pancing Undi


TEMERLOH, 23 Dis (Bernama) -- Dakwaan pembangkang kononnya MIC meminggirkan kaum India di Malaysia disifatkan gimik politik dan cubaan mereka untuk memancing undi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemuda MIC S.A.Vigneswaran berkata pembangkang akan menggunakan apa juga cara termasuk memperalatkan golongan tertentu asalkan mereka dapat menagih sokongan daripada kaum India supaya tidak lagi mengundi calon Barisan Nasional (BN), termasuk daripada MIC pada pilihan raya akan datang.

"Dalam tahun 2007 ini, apa yang telah parti pembangkang perjuangkan untuk kaum India? Tak ada apa-apa pun... tak pernah buat (membela nasib kaum India), yang buat hanyalah MIC serta parti komponen BN.

"Kalau mereka ini buat banyak tuduhan, kita ingin mengetahui apakah formula untuk menyelesaikan masalah kaum India. Saya tahu mereka ini tiada formula, yang ada formula hanya BN," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 250 ketua keluarga mangsa banjir di Sekolah Rendah Jenis Kebangsan Tamil Bandar Mentakab di sini hari ini.

Sumbangan berupa tilam, selimut, dapur gas, periuk nasi serta pakaian seragam sekolah bernilai RM100,000 itu disumbangkan oleh syarikat korporat.

Vigneswaran berkata MIC perjuangkan nasib kaum India sejak 50 tahun lepas dan mereka mengecapi pelbagai kemudahan serta keselesaan termasuk pelajaran serta peluang ekonomni.

Katanya kemiskinan bukan hanya berlaku dalam kaum India sahaja malahan turut membelenggu orang Melayu dan Cina.

Mengenai isu kuil pula, beliau berkata MIC memperjuangkan isu itu sejak 50 tahun lepas sehingga wujud banyak kuil di negara ini tetapi pembangkang pula cuba mengambil kesempatan terhadap isu merobohkan kuil untuk meraih simpati kaum India.

-- BERNAMA


Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels