Bernama.com
Am 22 Disember, 2007 13:58 PM
 
Pengundi Tegar BN Daripada Kaum India Tidak Akan Beralih Kepada Pembangkang


KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Undian oleh pengundi tegar Barisan Nasional (BN) daripada kaum India tidak akan beralih kepada Pembangkang, kata Timbalan Presiden Malaysian Indian Congress (MIC) Datuk G. Palanivel hari ini.

"Perkara ini tidak akan berlaku," katanya kepada diminta mengulas saranan pemimpin Pembangkang Lim Kit Siang bahawa terdapat kebangkitan politik dalam kalangan pengundi India di negara ini baru-baru ini.

"Pembangkang hanya merujuk kepada suara kumpulan serpihan," kata Palanivel, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata keadaan di peringkat akar umbi terutamanya semasa pilihan raya menunjukkan pengundi akan menilai jumlah kerja yang MIC telahpun laksanakan di bawah kepimpinan Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Kesetiaan bukanlah proses sehala. Ia merupakan proses dua hala. Pengundi Barisan Nasional akan tetap setia kepada kami memandangkan kami memberikan khidmat kepada kawasan pilihan raya kami dan telahpun memupuk hubungan dengan pengundi kami," kata Palanivel.

Beliau berkata wakil rakyat BN perlu terus bekerja keras di kawasan pilihan raya mereka dan sentiasa memaklumkan kepada pengundi mengenai taktik pembangkang yang menangguk di air keruh.

Sebahagian besar pengundi India, tegas beliau, tahu bahawa mengundi Pembangkang bukanlah jawapan kepada masalah mereka yang masih belum selesai.

-- BERNAMA


Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels