Bernama.com
Am 22 Disember, 2007 01:11 AM
 
Pemuda MIC Perlu Bertindak Lebih Proaktif - Vigneswaran


KLANG, 21 Dis (Bernama) -- Pemuda MIC perlu bertindak lebih agresif dalam menangani kesan tindakan sekumpulan masyarakat India yang menganjurkan perhimpunan haram untuk mengelirukan kaum itu di negara ini, kata ketuanya S.A.Vigneswaran.

Beliau berkata tindakan kumpulan itu memberi ruang kepada parti pembangkang untuk mengambil kesempatan dalam memancing undi pada pilihan raya umum akan datang.

"Masyarakat India perlu sedar bahawa tindakan sekumpulan masyarakat itu yang mengadakan perhimpunan haram telah membawa banyak kesan negatif terhadap kaum India.

"Pemuda MIC tidak boleh berdiam diri dan perlu bertindak lebih proaktif dalam mengawal keadaan supaya tidak menjadi lebih buruk," kata Vigneswaran kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Pemuda MIC Selangor di sini, malam ini.

Vigneswaran yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan turut meminta semua ketua pemuda MIC bahagian turun padang dan membuat kajian terhadap masalah kaum India yang masih belum selesai serta mengadakan perbincangan dengan masyarakat India di kawasan masing-masing.

"Saya mahu kerjasama rangkaian yang lebih agresif dan efektif di kalangan Pemuda MIC," katanya.

Mesyuarat kira-kira dua jam yang disertai lebih kurang 200 anggota Pemuda MIC termasuk 19 Ketua Pemuda bahagian di seluruh Selangor itu adalah siri jelajah yang bermula hari ini bertujuan memberi maklumat tepat mengenai isu semasa serta membuat kajian lebih mendalam berhubung masalah yang dihadapi masyarakat India di Malaysia.

-- BERNAMA
Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels