Bernama.com
Am 03 Disember, 2007 00:39 AM
 
Tiga Tentera Anggota Payung Terjun Dalam Latihan LIMA Terbunuh



MALANG TAK BERBAU… Anggota pasukan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia mengusung rakan mereka yang cedera ke dalam ambulan untuk dikejarkan ke hospital. Pasukan tersebut menjalani latihan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2007 (LIMA 2007). Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, tiga anggota tentera maut manakala lima lagi cedera apabila penerjunan mereka tersasar ke dalam laut berhampiran pantai Kuala Muda ekoran angin kencang. Foto: Bernama

LANGKAWI, 2 Dis (Bernama) -- Tiga anggota tentera, termasuk dua wanita, yang menjalani latihan payung terjun untuk pertunjukan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 2007) mati lemas manakala 11 lagi cedera apabila penerjunan mereka tersasar akibat angin kencang hingga terjunam ke dalam laut berhampiran pantai Kuala Muda pagi tadi.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata mereka yang terkorban ialah Prebet Nurul Wahida Mohamad Yunus, 20; Ranjer Siti Hajar Yakub, 24; dan Trooper Raimon Duncan, 25 tahun.

Nurul Wahida berasal dari Tanjung Malim, Perak; Siti Hajar dari Masjid Tanah, Melaka; dan Raimon dari Simunjan, Sarawak.

Salah seorang daripada 11 anggota yang cedera, Suraya Ali, 23, dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi.

Peristiwa kematian anggota tentera itu juga diikuti beberapa jam selepas itu yang menyaksikan seorang pengawal pantai (lifeguard) yang sedang menjalani latihan menyelamat di Pantai Tengah, di sini lemas selepas bot penyelamat (katamaran) yang dinaiki bersama seorang rakannya karam akibat ombak kuat.

Azmi Ismail, 42, pekerja Pelangi Beach Resort Pantai Cenang mati lemas selepas terjatuh ke dalam laut apabila bot itu karam berhampiran Holiday Villa akibat bot mereka dihempas ombak pada pukul 3 petang ini.

Rakannya Rosli Shaari, 42, diselamatkan orang ramai, hanya beberapa kilometer daripada tempat anggota tentera itu terbunuh.

Bercakap kepada pemberita selepas menziarahai jenazah dan mangsa, Azizan berkata insiden melibatkan penerjun itu berlaku ketika sekumpulan 160 anggota pasukan itu yang menggunakan dua buah pesawat C-130 sedang melakukan latihan demonstrasi "seizure of airfield" masing-masing pada pukul 10.15 pagi dan 10.20 pagi dengan sasaran mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Terjunan itu sepatutnya dipertontonkan sebagai antara pertunjukkan LIMA 2007 yang dijadualkan pada pukul 10 pagi, Selasa ini.

Bagaimanapun selepas 138 anggota membuat terjunan dari paras udara 330 meter, tiba-tiba angin bertiup kencang menyebabkan mereka tersasar dari lokasi pendaratan hingga ada anggota yang tersasar di luar lapangan terbang serta tersangkut di pokok serta yang lain terjatuh ke laut berhampiran Pantai Kuala Muda dekat lapangan terbang itu, katanya.

Kejadian itu juga menyaksikan baki anggota pasukan itu, yang ketika itu masing-masing membawa kelengkapan perang yang dianggarkan seberat kira-kira 38 Kg bersama senjata, membatalkan terjunan masing-masing dan gerakan menyelamat dijalankan segera.

Kejadian cemas itu turut ditonton oleh orang ramai yang leka mengikuti pelbagai latihan harian tentera termasuk pengunaan pesawat tempur supersonik, tetapi tidak ramai menyedarinya dan malahan menyangka insiden itu sebagai satu latihan menyelamat biasa.

Ekoran daripada kejadian itu semua latihan penerbangan melibatkan pesawat udara pada sebelah petang dibatalkan walaupun cuaca agak baik.

Azizan berkata keluarga anggota yang terkorban dan yang cedera telah dimaklumkan kepada keluarga masing-masing.

Beliau berkata satu lembaga siasatan juga akan ditubuhkan dengan serta merta untuk menyiasat punca insiden termasuk punca kematian ketiga-tiga anggota yang terjatuh ke dalam laut.

Difahamkan sebelum kejadian, pegawai tentera telah membuat sukatan angin dan dilaporkan kelajuan angin adalah 8 knot iaitu di bawah paras bagi penerjunan selamat (11 knot) yang dibenarkan pihak berkuasa.

Azizan berkata kemalangan maut melibatkan anggota tentera pada pameran LIMA itu bukan pertama kali. Pada LIMA 2005, seorang juruterbang maut selepas pesawatnya terhempas.

Ketua Daerah Polis Langkawi Supt Mohamed Ali Jamaludin berkata hasil laporan, ketiga-tiga anggota itu didapati telah mati ketika usaha menyelamat untuk mengangkat mereka keluar dari laut dibuat.

Katanya laporan awal perubatan mendapati mereka mati akibat hipotermia (keadaan sejuk melampau).

Beliau berkata anggota yang cedera dan dibawa ke hospital juga mengalami simpton yang sama serta luka-luka.

Bercakap kepada pemberita di hospital itu, Mohamed Ali berkata, dipercayai antara antara 18 dan 20 anggota tentera itu terjatuh ke laut. Mereka termasuk tiga anggota yang maut itu.

Berikutan kejadian itu, Mohamed Ali berkata operasi menyelamat menggunakan beberapa buah helikopter dan pesawat digerakkan segera melibatkan empat pasukan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata 11 anggota yang cedera itu terdiri daripada tujuh wanita termasuk Suraya, dan empat lagi lelaki.

Mayat ketiga-tiga anggota terbabit kini ditempatkan di bilik mayat Hospital Langkawi manakala yang cedera diberikan rawatan lanjut.

Selain itu difahamkan lewat petang ini, seorang daripada anggota terbabit, Zaliza Zakaria, 23, telah dihantar ke Hospital Besar Alor Setar untuk rawatan lebih rapi.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhamad Ismail Jamaluddin berkata demonstrasi penerjunan yang merupakan gimik pembukaan LIMA 2007 itu telah dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya seminggu sebelum penerjunan latihan, Drop Zone Safety Officer telah membuat pemantauan dan ujian kelajuan angin dan didapati ia sesuai bagi penerjunan sedemikian.

"Apa yang telah berlaku, kami belum pasti," katanya.

Muhamad Ismail juga menolak spekulasi bahawa penerjunan itu dilakukan ketika angin kencang.

Sebaliknya, katanya, ketika itu angin berada pada kelajuan 8 knot dan sekiranya melebihi 11 knot penerjunan itu akan dibatalkan.

"Saya tidak pernah membenarkan askar kami terjun jika ia melebihi kelajuan angin. Tidak kira apa jua arahan yang saya terima. Ini askar saya dan nyawa askar saya.

"Mereka terjun mengikut kelajuan angin yang dibenarkan. Mereka penerjun berpengalaman," kata Muhammad Ismail sambil menegaskan bahawa demonstrasi penerjunan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ditanya berhubung keselamatan penerjun selepas ini dan adakah pertunjukan itu akan dibatalkan, Azizan berkata ia akan tetap diteruskan.

Beliau berkata cuma kali ini kemungkinan ada berlaku beberapa perubahan khususnya elemen keselamatan dan memperkemaskan SOP bagi mengelakkan insiden itu berulang.

Beliau yakin insiden malang yang menimpa anggota penerjunnya itu tidak akan berulang.

"Esok ada satu lagi latihan," katanya yakin.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid turut berada di hospital di sini bagi melawat anggota tentera yang cedera.

Mahdzir yang baru pulang ke tanah air selepas mengadakan lawatan ke Beijing menemui anggota tentera termasuk seorang anggota yang kritikal di ICU selama setengah jam.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terkorban sambil berharap mereka yang cedera sembuh segera.

-- BERNAMA










Copyright © 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels