Bernama.com
Am 16 November, 2007 16:50 PM
 
Projek Landasan Berkembar Seremban-Gemas Mula Awal Tahun Depan, Chan


KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Indian Railway Construction Co (Ircon) dijangka memulakan kerja pembinaan projek kereta api landasan berkembar antara Seremban dan Gemas menjelang suku pertama tahun depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata Ircon yang merupakan milik negara India menerima jemputan kerajaan Malaysia untuk melaksanakan projek itu empat bulan lepas dan kini sedang memperincikan reka bentuk dan kos dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

"Kami sedang memuktamadkan perinciannya. Anda boleh menjangka kerja akan dimulakan menjelang suku pertama tahun depan."

"Saya meminta para pegawai kementerian saya dan EPU untuk menyemak perinciannya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Projek itu ditangguhkan lewat 2003 sebagai sebahagian langkah kerajaan untuk mengurangkan defisit bajet nasional. Ircon telah membida projek itu dan surat hasrat telah dikeluarkan dalam 2001.

Janji niaga dengan Ircon sepatutnya dilaksanakan dalam bentuk perdagangan tukar barang bagi produk minyak sawit dan yang berkaitannya.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia kemudiannya membuat keputusan memberikan projek itu kepada syarikat tempatan, MMC-Gamuda, kerana bidaannya lebih rendah daripada Ircon.

Keputusan itu memberi kesan kepada hubungan komersil antara Malaysia dan India dan telah membawa perkara itu kepada perhatian kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri India.

Awal tahun ini, Malaysia menawarkan Ircon satu lagi peluang untuk mengambil bahagian dalam projek itu. Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar telah menyampaikan tawaran itu semasa beliau melawat New Delhi dalam Februari.

Ircon menerima tawaran itu dalam pertengahan Ogos.

Kos projek itu tidak diketahui. Laporan awal menyatakan projek landasan berkembar Gemas-Padang Besar dianggarkan bernilai RM14.5 bilion dalam 2003.

Laluan Ipoh-Rawang yang bernilai RM4.6 bilion, kini sudah 99 peratus disiapkan manakala pembinaan laluan Ipoh-Padang Besar yang diberikan kepada MMC-Gamuda di bawah inisiatif pembiayaan swasta, juga dijangka bermula awal tahun depan.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels