Bernama.com
Am 06 November, 2007 11:32 AM
 
Gunung Trus Madi Dijadikan Pusat Pelancongan Baru Di Sabah


TAMBUNAN, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah sedang merangka strategi untuk memajukan dan mempromosi secara agresif Gunung Trus Madi di sini, gunung kedua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu, sebagai pusat pelancongan negeri yang baru.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata Gunung Trus Madi dengan ketinggian 2,900 meter berpotensi menarik pelancong ke daerah pedalaman itu kerana ia bukan sahaja mempunyai keadaan cuaca yang sejuk tetapi juga kaya dengan keunikan biodiversiti.

"Saya mahu melihat kawasan pedalaman khususnya Tambunan maju daripada segi pelancongan dan saya fikir Gunung Trus Madi boleh menjadi alternatif kepada Gunung Kinabalu untuk pelancong yang gemar aktiviti pendakian lasak," kata Pairin yang pernah mendaki Gunung Trus Madi dan melihat sendiri pemandangan yang indah dan menakjubkan ketika berada di puncak gunung.

Beliau berkata bahawa perjalanan mendaki Gunung Trus Madi juga mencabar dan pada masa ini pun sudah ramai pelancong melawatnya.

"Jadi sudah tiba masanya kita mempopularkan Gunung Trus Madi selaras dengan hala tuju negeri yang memberi penekanan kepada sektor pelancongan," katanya kepada Bernama di sini.

Gunung Trus madi terletak di kawasan Hutan Simpan Trusmadi Tambunan, 25 kilometer dari pekan Tambunan.

Pairin berkata kerajaan akan membelanjakan RM1 juta bagi menyediakan kemudahan asas untuk tujuan pelancongan termasuk jalan raya menuju ke kaki Gunung Trus Madi.

Daerah Tambunan kini mempunyai beberapa tempat pelancongan menarik termasuk air terjun Mahua yang sering dikunjungi pelancong luar negara.

Pairin berkata kerajaan juga bercadang untuk mengadakan Pesta Halia di daerah Tambunan yang merupakan pengeluar halia terbesar di Sabah.

"Semua ini kita rancang untuk kebaikan rakyat terutama penduduk kampung yang mengusahakan tanaman halia seperti di kampung Tikolod," katanya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels