Bernama.com
Am 02 November, 2007 13:11 PM
 
Lonjakan Untuk Pelancongan Pendidikan


Oleh Nor Faridah Abdul Rashid

DUBAI, 2 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia berusaha menggalakkan pelancongan pendidikan dengan membenarkan pelancong yang mempunyai visa lawatan sosial mengikuti kursus jangka pendek sambil menikmati kunjungan mereka ke Malaysia.

Prof Datuk Dr Hasan Said, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, berkata negara lain sudahpun melaksanakan konsep seperti itu yang secara tidak langsung menggalakkan sektor pelancongan.

"Kementerian juga ingin menggalakkan perkara ini. Datanglah berkunjung ke negara kami dan teruskanlah pengajian di sana," katanya kepada Bernama di sini.

Hasan berkata kursus jangka pendek akan memanfaatkan pelancong dari Timur Tengah yang mengisi cuti musim panas mereka di Malaysia, dengan ada di antara mereka tinggal di negara itu selama tiga bulan.

Biasanya masyarakat Arab melakukan perjalanan bersama sejumlah besar anggota keluarga, justeru mereka boleh mengambil kesempatan daripada tempoh tinggal yang lama di Malaysia dengan menghantar anak mereka mengikuti kursus jangka pendek seperti kursus bahasa Inggeris atau kursus yang berkaitan teknologi komunikasi maklumat (ICT), katanya.

Tahun lepas, Malaysia menarik lebih daripada 186,000 pelancong dari Timur Tengah dan mensasarkan kunjungan 300,000 orang tahun ini.

Hasan berada di Dubai baru-baru ini untuk merasmikan pameran dan seminar pendidikan tinggi di Malaysia.

Beliau berkata selepas mengikuti kursus jangka pendek itu, mereka mungkin tertarik dengan keupayaan serta kualiti program yang ditawarkan Malaysia dan kemudiannya ingin menghantar anak mereka belajar di sana.

Sebelum ini, katanya, mereka yang pergi ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial tidak dibenarkan mengikuti kursus yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi di negara berkenaan.

"Dengan membenarkan mereka mengikuti kursus jangka pendek, kami secara tidak langsung mempromosikan pelancongan dan pada masa sama menggalakkan mereka kembali semula selepas itu untuk kursus yang lebih panjang," katanya, sambil menambah kementerian tidak sekadar mensasarkan kanak-kanak tetapi juga ibu bapa mereka untuk mengikuti kursus jangka pendek.

"Mungkin mereka mahu belajar mengenai agama, kami boleh meminta universiti Islam di Malaysia untuk menganjurkan sesuatu. Mungkin mereka ingin tahu tentang Islam Hadhari, kami boleh menganjurkan kursus jangka pendek selama dua atau tiga minggu," katanya.

"Dalam kadar yang lebih kecil, ada sesetengah kolej yang sudahpun melaksanakannya. Namun kini kami ingin pergi kepada agenda yang lebih besar. Kami merasakan, pertamanya kami mahu mempromosikan pelancongan dan keduanya ia akan menjadi pelaburan awal untuk pengajian tinggi pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata Malaysia ingin melihat lebih banyak pelajar dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) belajar di negara ini memandangkan pada masa ini jumlahnya agak kecil.

"Apabila pelajar ini pulang ke tanah air, mereka akan menjadi penggubal dasar atau ketua jabatan, justeru Malaysia dan UAE dapat memperkukuhkan hubungan dua hala," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels